SERIAN, 10 November: Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan hak tanah adat masyarakat pribumi apabila sebanyak 1.24 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjaya disiapkan pengukurannya menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu di seluruh negeri.
Pencapaian itu dilihat sebagai satu langkah besar dalam memastikan tanah adat masyarakat pribumi bukan sahaja diiktiraf secara rasmi, malah dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang kukuh
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pengiktirafan Pemakai Menoa dan Pulau Galau melalui Seksyen 6A Kanun Tanah Sarawak menjadi titik penting dalam usaha memperkukuh hak dan kepentingan masyarakat pribumi terhadap tanah warisan mereka.
Menurut beliau, selepas keputusan mahkamah pada 2016 berkaitan tuntutan Pemakai Menoa dan Pulau Galau, kerajaan memilih pendekatan perundangan dengan memperkenalkan Seksyen 6A bagi memberi pengiktirafan yang jelas dan sah di sisi undang-undang.
“Ini bukan janji politik. Bukan retorik. Ini adalah langkah berani untuk menguatkuasakan Seksyen 6A supaya tanah Pulau Galau dan Pemakai Menoa boleh digunakan serta dimiliki oleh masyarakat yang berhak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian projek-projek pembangunan bagi tempoh 2022 hingga 2026 di Kampung Meboi, Serian, hari ini.

Sebagai bukti pelaksanaan dasar tersebut, kerajaan telah menyerahkan surat Hak Milik Tanah Komunal Masyarakat Peribumi (NCT) di bawah Seksyen 6A kepada Temenggong Boniface Bada bagi kawasan seluas 304 hektar di Sungai Senga, Suai Niah.
Mengulas kemajuan program pengukuran tanah NCR, Uggah berkata daripada keseluruhan 1,248,659 hektar tanah yang telah diukur, sebanyak 979,434 hektar sudah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Selain itu, di bawah Seksyen 18, sebanyak 135,332 hektar melibatkan 112,717 lot telah selesai disukat, manakala 60,727 hektar melibatkan 40,796 lot telah berjaya dikeluarkan surat hak milik tanah.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup pula, sebanyak 13,104 hektar tanah telah diluluskan di bawah Seksyen 6 dengan 8,998.96 hektar selesai disukat dan 8,898.96 hektar telah diwartakan.
Di bawah Seksyen 18, sejumlah 1,809.98 hektar melibatkan 1,693 lot telah selesai disukat, manakala 296.875 hektar membabitkan 321 lot telah menerima surat hak milik.
Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan berterusan dalam meluluskan pelaksanaan pengukuran tanah NCR yang disifatkan sebagai usaha penting untuk memperjelas, mengiktiraf dan melindungi hak tanah adat masyarakat pribumi.
Beliau menegaskan bahawa tanah adat bukan sekadar aset ekonomi atau tempat tinggal, tetapi merupakan warisan turun-temurun yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti yang perlu dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Tanah adat adalah pusaka nenek moyang yang menjadi asas kehidupan masyarakat pribumi. Justeru, usaha melindungi dan mengabsahkan hak milik tanah ini akan terus menjadi keutamaan kerajaan Sarawak,” katanya.
Oleh Adi Safarman





