Dua tragedi di Tanjung Manis jadi peringatan utamakan keselamatan sungai

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin merakamkan gambar kenangan bersama para peserta Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai bagi Kampung Muhibbah dan Kampung Masjid, Kuala Baram, di Miri hari ini.

MIRI, 10 November: Dua kejadian yang meragut nyawa di perairan Tanjung Manis baru-baru ini perlu dijadikan peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, aspek keselamatan sungai tidak boleh dipandang ringan, khususnya dalam kalangan nelayan, pengendali bot serta pekerja yang menjalankan tugas di atas kapal dan bot.

Menurut beliau, setiap pengendali bot perlu memastikan bot berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan, selain sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kita semua tentang beberapa kejadian menyayat hati yang berlaku baru-baru ini di kawasan perairan Sarawak.

“Pada 31 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 51 tahun, ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang apabila dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan kerja membaik pulih sebuah bot tunda di limbungan Hock Seng Lee Dockyard, Tanjung Manis.

“Tidak lama selepas itu, pada 1 November, sebuah bot yang dinaiki tiga individu terbalik di perairan berhampiran Kampung Hulu Paloh, Tanjung Manis, dipercayai akibat arus deras.

“Seorang mangsa, berusia 28 tahun, dilaporkan hilang, manakala dua individu lain berjaya diselamatkan. Mangsa kemudian ditemukan meninggal dunia pada 3 November,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai bagi Kampung Muhibbah dan Kampung Masjid, Kuala Baram, di sini, hari ini.

Lee berkata, kedua-dua kejadian itu memberikan pengajaran penting bahawa keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai tidak boleh dipandang remeh.

“Sama ada bekerja di atas kapal, mengendalikan bot, menangkap ikan atau menggunakan sungai sebagai laluan pengangkutan, setiap individu perlu sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pekerja di atas kapal atau bot perlu memberikan perhatian terhadap keselamatan pekerjaan, penggunaan peralatan perlindungan diri serta pematuhan prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, usaha mencegah kemalangan di sungai bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua individu yang menggunakan laluan air berkenaan.

Oleh Liong Chai Ling