BINTULU,10 November: Taman Negara Similajau terus menjadi antara habitat penting bagi penyu hijau apabila kawasan pantainya kekal sebagai lokasi pendaratan spesies berkenaan untuk bertelur sejak usaha pemuliharaan dimulakan pada 1976.
Pantai Emas (Golden Beach) dan kawasan pesisir pantai di taman negara itu merupakan antara lokasi penting bagi penyu hijau untuk mendarat dan bertelur.
Menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), rekod pendaratan penyu sepanjang tempoh lima dekad membuktikan kepentingan habitat marin di kawasan berkenaan dalam menyokong kelangsungan hidup spesies itu.
Pencapaian tersebut turut mencerminkan kepentingan usaha pemuliharaan secara berterusan bagi memastikan kawasan pantai berkenaan kekal sesuai sebagai habitat pembiakan penyu hijau.

Walaupun Bintulu terus berkembang sebagai koridor industri dan pembangunan, perlindungan terhadap ekosistem semula jadi perlu terus diberi perhatian bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
SFC dalam kenyataannya menyifatkan pencapaian itu sebagai antara kejayaan bermakna sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun pemuliharaan pada tahun ini.
Bertemakan ’50 Tahun Pemuliharaan, Satu Komitmen Bersama’, sambutan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam melindungi khazanah alam semula jadi serta memastikan habitat hidupan liar terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Usaha berkenaan juga memperlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi berkaitan dan masyarakat dalam memastikan kawasan perlindungan semula jadi terus berfungsi sebagai habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan liar.
Pemuliharaan penyu hijau di Taman Negara Similajau bukan sahaja penting bagi menjamin kelangsungan spesies berkenaan, malah turut memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti dan ekologi penting di Sarawak.
Oleh Faizah Muzidi





