Sarawak mahu seluruh rantaian industri patuhi piawaian kelestarian

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari (kanan) pada sesi Fireside Chat sempena Forum Peralihan Industri Standard Chartered-Invest Sarawak-Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di Kuching, hari ini. Foto UKAS.

KUCHING, 10 November: Sarawak mahu memastikan setiap peringkat operasi sektor perindustrian negeri ini memenuhi piawaian kelestarian antarabangsa bagi mengekalkan daya saing dalam pasaran global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pematuhan itu penting susulan pengiktirafan Bintulu sebagai satu daripada 39 Kluster Perindustrian Rendah Karbon di bawah Forum Ekonomi Dunia.

Menurut beliau, penilaian kelestarian tidak seharusnya hanya melihat kepada produk yang dihasilkan, sebaliknya merangkumi keseluruhan proses pengeluaran.

Beliau berkata, pasaran antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) menetapkan peraturan ketat berkaitan kelestarian yang perlu dipatuhi oleh pengeluar.

“Kesatuan Eropah menguatkuasakan peraturan yang sangat ketat, begitu juga dengan pasaran anda yang lain. Hal ini berpunca daripada kesepakatan dalam mendefinisikan isu perubahan iklim. Anda wajib mematuhi peraturan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Fireside Chat sempena Forum Peralihan Industri Standard Chartered-Invest Sarawak-Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sini, hari ini.

Sesi berkenaan dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Interim Standard Chartered Malaysia, Mushahid Syed.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, operasi industri perlu mengutamakan penjagaan alam sekitar melalui penggunaan tenaga hijau serta penerapan teknologi pintar.

Antara pendekatan yang boleh dimanfaatkan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem transaksi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong amalan pengeluaran yang lebih lestari.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan tenaga hijau perlu disokong oleh sistem operasi yang turut mengutamakan kelestarian.

“Jika anda ingin mencapai objektif menjelang 2030 dan seterusnya dengan menggunakan tenaga hijau, maka sistem itu sendiri mestilah bersifat hijau,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud