KUCHING, 10 November: Ketersediaan sumber tenaga pada kadar kompetitif, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama pembiayaan antara kerajaan dan sektor swasta menjadi antara kelebihan Sarawak dalam menarik pelaburan antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan faktor berkenaan memberikan nilai tambah kepada negeri ini dalam persaingan menarik pelabur, khususnya di rantau ASEAN.
Menurut beliau, kedudukan geografi yang strategik serta bekalan tenaga mencukupi pada kadar tarif elektrik kompetitif turut menjadi pertimbangan penting kepada pelabur.
“Dari segi lokasi, Sarawak mempunyai kelebihan. Begitu juga dari segi tenaga, selain menawarkan kos yang kompetitif.
“Kita mempunyai tarif elektrik terendah di rantau ini kerana kita mengawal sendiri bekalan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Fireside Chat sempena Standard Chartered Invest Sarawak BMCC Industrial Transition Forum di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, selain kemudahan asas seperti tenaga dan bekalan air, pelabur turut mengambil kira dasar kerajaan serta sistem pendidikan dalam menilai potensi sesebuah destinasi pelaburan.
Katanya, pembangunan bakat tempatan penting bagi memastikan industri mempunyai tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan teknologi moden.
“Apabila saya berinteraksi dengan bakal pelabur, perkara yang mereka lihat bukan sahaja bekalan tenaga dan air, tetapi juga dasar kerajaan serta pendidikan.
“Ini kerana mereka memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan mengenai teknologi moden,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta sebagai penggerak utama pelaksanaan pembangunan ekonomi negeri menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan.
Menurutnya, pendekatan pembiayaan hibrid yang menggabungkan sumber kewangan kerajaan dan swasta boleh digunakan bagi menyokong pelaksanaan projek pembangunan serta infrastruktur berskala besar.
Beliau berkata, kerajaan boleh memanfaatkan hasil negeri dan penerbitan bon, manakala sektor swasta berperanan menyediakan pembiayaan serta menerajui pelaksanaan projek.
“Enjin pertumbuhan ialah sektor swasta. Mereka mengetahui dengan baik bidang yang diceburi, manakala kerajaan menyediakan kemudahan dan dasar yang bersesuaian.
“Pelaksanaan pembangunan sebenar terletak pada sektor swasta, termasuk melalui pembiayaan swasta,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat kedua-dua pihak membolehkan sumber pembiayaan disalurkan secara lebih strategik mengikut keperluan projek, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sarawak secara mampan.
Oleh Shikin Mahmud




