Kerjasama Sarawak-Britain buka peluang pelaburan projek tenaga bersih

Facebook
WhatsApp
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Forum Peralihan Industri anjuran Standard Chartered, Invest Sarawak dan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, hari ini.

KUCHING, 10 November: Kerjasama Sarawak dan United Kingdom (UK) berpotensi membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam projek tenaga bersih menerusi gabungan kepakaran kewangan, teknologi, kejuruteraan dan sumber yang dimiliki kedua-dua pihak.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma berkata, UK komited membantu Sarawak menterjemahkan aspirasi pembangunan hijau kepada projek yang berdaya maju, menarik pelaburan serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan dalam sektor tenaga bersih, sumber semula jadi dan pembangunan perindustrian, selain kedudukan strategik di Asia Tenggara.

“Sarawak juga mempunyai visi yang jelas dan bagi saya, perkara itu amat penting.

“UK pula mempunyai kepakaran bertaraf dunia dalam perkhidmatan kewangan, kewangan hijau, teknologi, kejuruteraan dan inovasi.

“Jika kita menggabungkan kekuatan ini, kita mampu menterjemahkan aspirasi hijau Sarawak kepada projek yang menarik pelaburan dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Forum Peralihan Industri anjuran Standard Chartered, Invest Sarawak dan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Sesi berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas lanjut, Ajay berkata, aspirasi Sarawak untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10,000 megawatt menjelang 2030 serta hasrat menjadi hab bateri ASEAN merupakan peluang kerjasama yang disambut baik oleh UK.

Katanya, UK bersedia bekerjasama dengan Sarawak dalam merealisasikan aspirasi berkenaan, khususnya menerusi pengalaman negara itu dalam pembangunan kesalinghubungan tenaga rentas sempadan.

Beliau turut merujuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Bank Pembangunan Asia (ADB) pada tahun lalu sempena SARAT 4.0, dengan sokongan pembiayaan UK bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek sambungan elektrik Sarawak-Singapura.

Dalam pada itu, Ajay berkata, pelaksanaan projek berskala besar memerlukan penglibatan sumber modal swasta dan institusi kewangan selain pembiayaan awam bagi memastikan projek yang dilaksanakan berdaya maju serta mampan untuk jangka panjang.

Menurutnya, UK Export Finance (UKEF), iaitu agensi kredit eksport UK, mempunyai had toleransi risiko pasaran sehingga £5 bilion dan memberi tumpuan kepada pengembangan portfolio tenaga bersih.

“Keupayaan UKEF menyediakan jaminan dalam mata wang ringgit Malaysia menjadikannya rakan pembiayaan yang sesuai untuk menyokong pelaksanaan projek tenaga bersih di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama tersebut turut membuka peluang dalam aspek pembiayaan perdagangan, bon mampan, struktur pelaburan dan penyelesaian rantaian bekalan.

Ajay turut menegaskan komitmen Suruhanjaya Tinggi British untuk memperkukuh hubungan dengan Sarawak melalui pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan, pembangunan kemahiran serta bakat, selain menghubungkan syarikat dari UK dan Sarawak bagi meneroka peluang kerjasama.

Beliau berharap forum berkenaan dapat membuka ruang kepada pembentukan perkongsian baharu, peningkatan pelaburan serta pelaksanaan lebih banyak projek yang mampu menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud

280 permohonan STR diserahkan kepada LHDN

KUCHING: Sebanyak 280 permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) petang tadi susulan inisiatif