JULAU, 10 November: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menegaskan hanya calon yang bertanding secara rasmi atas nama parti itu akan menerima sokongan dan pengiktirafannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pendirian tersebut adalah jelas dan tidak melibatkan mana-mana calon Bebas atau calon daripada parti politik lain.
Katanya, PBM mempunyai identiti, prinsip dan matlamat tersendiri yang menjadi asas kepada pendirian parti dalam menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
“Saya selaku Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) ingin menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang, saya hanya akan menyokong calon yang secara rasmi menerajui nama Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“PBM tidak menyokong, meluluskan atau mengiktiraf mana-mana calon Bebas atau calon daripada parti politik lain.
“Hanya calon yang bertanding atas nama rasmi dan kain rentang PBM akan mendapat sokongan dan pengiktirafan parti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di Rumah Andy, Nanga Luau, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Larry turut menafikan dakwaan mengenai kewujudan unsur ‘sabung ayam’ yang dikaitkan dengan perkembangan politik menjelang PRN
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan menegaskan bahawa PBM merupakan sebuah parti politik yang mempunyai pendirian tersendiri.
“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan bahawa terdapat sebarang ‘sabung ayam’ yang terlibat.
“Saya ingin menjelaskan bahawa cerita sebegitu adalah tidak berasas dan ia hanyalah tuduhan fitnah yang berniat jahat,” katanya.
Mengulas peranan masyarakat menjelang pilihan raya, Larry berkata, perkembangan media sosial kini memberikan peluang lebih luas kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat mengenai rekod perkhidmatan, pekerjaan dan prestasi wakil rakyat.
Katanya, akses kepada maklumat tersebut membolehkan pengundi membuat penilaian terhadap calon berdasarkan rekod serta kemampuan masing-masing sebelum menentukan pilihan.
Beliau berpandangan bahawa pertimbangan pengundi seharusnya berasaskan maklumat yang tersedia dan bukannya dipengaruhi dakwaan yang belum dibuktikan.
“Pada hemat saya, rakyat berpeluang menilai prestasi setiap calon berdasarkan maklumat yang ada, sebelum mereka membuat keputusan dan mengundi mengikut pendapat dan pilihan masing-masing.
“Oleh itu, saya berharap agar semua rakyat dapat membuat pilihan yang bermaklumat dan bijak, dan memilih wakil rakyat yang benar-benar layak, berwibawa dan sanggup memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat mereka,” katanya lagi.
Larry turut menekankan bahawa kemampuan melaksanakan tanggungjawab dan komitmen memberikan perkhidmatan kepada masyarakat perlu menjadi antara pertimbangan dalam menilai seseorang calon.
Tambahnya, pengundi wajar memberikan perhatian kepada rekod dan keupayaan calon, selain meneliti kesahihan maklumat yang diterima melalui pelbagai saluran.
“Saya juga menegaskan pemilihan wakil rakyat hendaklah berdasarkan kemampuan, komitmen dan tanggungjawab mereka untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan kerana terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas atau cerita palsu,” katanya.
Di program tersebut, Larry turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM12,000 kepada Rumah Andy, Nanga Luau dan Biro Wanita kampung tersebut.
Oleh Earl Anek





