JPJ Sarawak perhebat Ops Patuh sempena Deepavali 2026

Facebook
WhatsApp
RONDAAN…Anggota JPJ Sarawak menjalankan rondaan dan pemantauan lalu lintas di Jalan Penrissen, Kuching, sempena Ops Patuh Deepavali 2026, semalam. Foto JPJ Sarawak

KUCHING, 10 November: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mempergiat operasi penguatkuasaan menerusi Ops Patuh sempena perayaan Deepavali 2026 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada rondaan dan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan jalan raya.

Menurut JPJ Sarawak, rondaan turut dilaksanakan pada waktu malam bagi meningkatkan pemantauan terhadap tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas.

OPS PATUH…Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya sempena Ops Patuh Deepavali 2026 di Kota Samarahan, semalam. Foto JPJ Sarawak

Selain itu, pemeriksaan bas di terminal turut dijalankan sebelum kenderaan berkenaan memulakan perjalanan bagi memastikan tahap keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus melindungi keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, JPJ Sarawak menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan jalan raya sepanjang perjalanan.

PEMANTAUAN…JPJ Sarawak menjalankan pemantauan terhadap bas di Terminal Bas Kuching Sentral sempena Ops Patuh Deepavali 2026, semalam. Foto JPJ Sarawak

Pemandu serta pengusaha kenderaan perkhidmatan awam turut diingatkan agar mengutamakan aspek keselamatan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

JPJ Sarawak menegaskan bahawa usaha penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu selaras dengan slogan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’.

Oleh Norman B