Geran RM10,000 sokong aktiviti Gereja St. James

Facebook
WhatsApp
PENYANDANG kerusi DUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berucap di majlis makan malam St. James Parish 2026. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Meradong

BINTANGOR, 10 November: Gereja St. James menerima geran berjumlah RM10,000 daripada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing sebagai sokongan terhadap usaha institusi keagamaan itu memperkukuh hubungan komuniti setempat.

Ding berkata, institusi keagamaan bukan sahaja berperanan melaksanakan kegiatan keagamaan, malah menjadi platform penting dalam memupuk nilai murni, semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.

Menurutnya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan institusi berkenaan dapat menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kerjasama dan saling membantu.

“Institusi keagamaan memainkan peranan penting dalam membentuk nilai murni, memupuk kasih sayang dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat.

“Oleh itu, kita harus terus bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain demi mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Meradong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam St. James Parish 2026 anjuran Gereja St. James, baru-baru ini.

Ding berkata, majlis berkenaan bukan sekadar pertemuan sosial dalam kalangan jemaat, sebaliknya turut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap keperluan gereja.

“Majlis makan malam seperti ini bukan sahaja menjadi peluang untuk kita berkumpul dan mengeratkan hubungan sesama jemaat, tetapi juga mencerminkan semangat kebersamaan, perpaduan dan keprihatinan terhadap komuniti.

“Saya amat menghargai usaha pihak penganjur serta semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan bagi menjayakan tujuan yang baik,” katanya.

Beliau berharap hubungan baik antara institusi keagamaan dengan masyarakat setempat terus dipelihara menerusi pelbagai kegiatan yang menggalakkan persefahaman, semangat kejiranan dan sikap saling membantu.

Oleh Earl Anek