BINTANGOR, 10 November: Kejayaan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan kemenangan dalam pertandingan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keberanian mencuba, kesungguhan berusaha dan pengalaman yang diperoleh sepanjang proses pembelajaran.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyertaan dalam pertandingan akademik dan bakat merupakan antara pendekatan penting untuk membantu pelajar membina keyakinan diri, mengasah pemikiran kritis serta mengembangkan potensi masing-masing.
Menurutnya, setiap pelajar mempunyai kebolehan tersendiri yang perlu dikenal pasti dan diberikan ruang untuk berkembang menerusi pelbagai aktiviti pendidikan di luar bilik darjah.
“Pencapaian dalam pertandingan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan. Sebaliknya, usaha, keberanian untuk mencuba serta pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai pertandingan juga merupakan sesuatu yang amat bernilai.
“Bagi pelajar yang berjaya meraih kemenangan, teruskan usaha untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.
“Bagi mereka yang belum berjaya, jangan mudah berputus asa, sebaliknya terus belajar, memperbaiki kelemahan dan berani mencuba lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan penghargaan Pertandingan Akademik dan Bakat Sekolah Rendah Cina Sarawak 2026, baru-baru ini.
Katanya, pendidikan bukan sekadar proses penyampaian ilmu pengetahuan, malah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan keupayaan pelajar menghadapi cabaran masa depan.

“Penganjuran pertandingan akademik dan bakat seperti ini amat penting kerana memberikan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kebolehan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Dalam pada itu, Ding menegaskan bahawa pembangunan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar, memerlukan kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa, lembaga pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta kerajaan.
Menurutnya, kerjasama tersebut penting bagi menambah baik persekitaran pembelajaran dan memperluas peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu serta mengembangkan bakat masing-masing.
“Selain kemudahan pendidikan, sokongan dan bimbingan guru turut menjadi faktor penting dalam membantu pelajar mengenal pasti kekuatan diri serta meningkatkan pencapaian mereka.
“Tahniah kepada para guru atas dedikasi dan pengorbanan meluangkan masa serta tenaga untuk membimbing pelajar, termasuk membuat persediaan menghadapi pertandingan di samping melaksanakan tugas pengajaran harian.
“Saya berharap kerjasama antara pihak penganjur dengan sekolah rendah Cina di seluruh Sarawak terus diperkukuh menerusi lebih banyak program pembangunan akademik dan bakat,” katanya.
Beliau berkata, usaha berterusan tersebut penting bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Earl Anek





