BINTANGOR, 10 November: Pemeriksaan berkala terhadap pili bomba penting bagi memastikan kemudahan bekalan air untuk operasi pemadaman kebakaran sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan apabila berlaku kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan dan kerja penyelenggaraan pili bomba di Jalan Kelupu serta kawasan Rumah Empeni, semalam.
Katanya, operasi yang melibatkan dua anggota bomba itu merangkumi kerja pembersihan kawasan sekitar pili bomba, pengujian tekanan air serta mengecat pili berkenaan.
“Pemeriksaan pili bomba penting bagi memastikan kemudahan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan apabila berlaku kecemasan.
“Antara kerja yang dijalankan ialah membersihkan kawasan sekitar pili bomba, menguji tekanan air dan mengecat pili bagi memastikan kemudahan itu mudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi.
Mahmudin berkata pengujian tekanan air merupakan antara aspek penting dalam pemeriksaan kerana pili bomba berfungsi sebagai sumber bekalan air kepada pasukan penyelamat ketika operasi pemadaman kebakaran.
Selain itu, kerja pembersihan di kawasan sekitar pili dapat memastikan akses kepada kemudahan tersebut tidak terhalang apabila diperlukan.
“Kerja mengecat pula bertujuan mengekalkan keadaan fizikal dan memastikan pili bomba mudah dilihat, khususnya di kawasan penempatan penduduk.
“Pili bomba merupakan antara kemudahan penting yang membantu anggota bomba mendapatkan bekalan air ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran.
“Justeru, pemeriksaan dan penyelenggaraan perlu diberikan perhatian supaya sebarang masalah berkaitan kemudahan tersebut dapat dikenal pasti lebih awal,” katanya.
Oleh Earl Anek





