SARIKEI, 9 November: Seramai 40 penduduk Rumah Soon, Sungai Sibau mendapat pendedahan mengenai langkah pencegahan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api menerusi Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran yang diadakan kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat tersebut melibatkan dua anggota bomba yang memberikan ceramah dan mengendalikan demonstrasi penggunaan alat pemadam api.
Katanya, program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan kebakaran, khususnya langkah awal yang perlu diketahui ketika berdepan kecemasan.
“Pendedahan mengenai keselamatan kebakaran amat penting supaya penduduk lebih peka terhadap risiko kebakaran di kediaman masing-masing.

“Melalui ceramah dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api, peserta dapat memahami langkah asas yang boleh diambil sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, program tersebut bermula dari 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.
“Penduduk perlu sentiasa memberikan perhatian terhadap keselamatan kebakaran dan tidak memandang ringan risiko yang boleh mengancam nyawa serta harta benda.
“Pengetahuan asas mengenai penggunaan alat pemadam api dapat membantu masyarakat membuat tindakan awal yang bersesuaian ketika berlaku kecemasan, dengan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Oleh Earl Anek




