BAU, 9 November: Seramai 18 kelab Lions dari Wilayah 1 bergabung tenaga menjayakan Program Projek Komuniti Luar Bandar Punca Global Wilayah 1 2026 di Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu, Kampung Peninjau, di sini, baru-baru ini.
Program bertemakan “Bersama Berkhidmat Demi Komuniti Luar Bandar yang Lebih Sihat” itu berlangsung dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan memberi tumpuan kepada tujuh daripada lapan bidang tumpuan global Kelab Lions Antarabangsa.
Pengerusi Wilayah 1, Alexander Koh mengetuai penyertaan kelab-kelab berkenaan, manakala Dr Christopher Kiyui bertindak sebagai pengerusi penganjur.
Program itu dirasmikan oleh Gabenor Daerah, Dato Jimmie Tie, manakala Dato Miro Simuh hadir sebagai tetamu khas.
Dalam ucapannya, Dato Jimmie berkata, program seumpama itu penting khususnya bagi masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan jarak, pengangkutan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
Katanya, penyediaan perkhidmatan kesihatan berhampiran tempat tinggal penduduk dapat membantu mengatasi kekangan tersebut, selain menggalakkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Sementara itu, Alexander berkata, lapan bidang tumpuan global Kelab Lions Antarabangsa menjadi panduan kepada kelab-kelab berkenaan dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat, termasuk membantu golongan memerlukan, meningkatkan kesedaran kesihatan dan melindungi alam sekitar.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara ahli Lions, organisasi rakan kerjasama dan masyarakat setempat bagi menggabungkan sumber serta kepakaran untuk memperluas manfaat kepada komuniti.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pemeriksaan penglihatan dan pemberian cermin mata bacaan kepada warga emas, saringan paras glukosa dalam darah, saringan kanser serviks serta kempen derma darah dengan sokongan Tabung Darah Bau.
Program itu turut merangkumi pengagihan bakul makanan kepada penerima yang dikenal pasti dengan bantuan ketua kaum, selain sumbangan pokok dalam pasu untuk menceriakan pusat komuniti berkenaan.
Aktiviti kesedaran kanser kanak-kanak serta Program Kesihatan Belia dan Kesedaran Dadah turut diadakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kesihatan dan pencegahan penyalahgunaan dadah.
Dalam program sama, Kelab Lions Kuching Lavender menandatangani perjanjian untuk mengambil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Siniawan sebagai pusat angkat. Majlis itu disaksikan Dato Jimmie dan Dato Miro.
Dr Christopher yang juga seorang doktor perubatan mengingatkan penduduk supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana terdapat penyakit yang tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
Beliau turut menggalakkan penduduk mendapatkan nasihat perubatan dan menjalani rawatan susulan bagi mengelakkan komplikasi.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab Lions yang mengambil bahagian, sukarelawan, ketua kaum serta semua pihak yang memberikan sokongan bagi menjayakan program berkenaan.
Antara pihak yang memberikan sokongan ialah WINWA Medical Sdn Bhd, Ketua Kaum Kawasan Serembu, Unit Transfusi dan Tabung Darah, Pink & Teal, Pejabat Daerah Bau, Polis Daerah Bau, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Pembangunan Skim mySalam, Diabetes Malaysia dan VITAHERB.




