MANCHESTER, 9 November: Manchester United bangkit daripada ketinggalan dua gol sebanyak dua kali untuk mengikat Aston Villa 4-4 dalam aksi dramatik awal pagi tadi, sekali gus berpotensi menyelamatkan kedudukan pengurus Michael Carrick.
Dua gol pada masa kecederaan menerusi Joshua Zirkzee dan Patrick Dorgu menyelamatkan United daripada kekalahan, namun kelab itu bakal mengharungi rehat antarabangsa selama dua minggu dalam zon penyingkiran.
Skuad kendalian Carrick dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pertama apabila Alysson dan Nicolas Jackson menghukum kesilapan penjaga gol, Senne Lammens.
The Red Devils bangkit menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes dan gol pertama Youri Tielemans sejak menyertai Old Trafford dari Villa.
Kebangkitan menakjubkan daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Roma 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara pada Selasa lalu memberikan Carrick sedikit ruang untuk bernafas.
Bagaimanapun, kali ini kebangkitan mereka tidak membuahkan kemenangan apabila kelemahan benteng pertahanan sekali lagi menyaksikan Villa menjaringkan dua gol dalam tempoh lapan minit pertama separuh masa kedua.

John McGinn menyempurnakan sepakan penalti selepas Diogo Dalot menjatuhkan Alysson, sebelum Leon Goretzka menyumbat gol dari jarak dekat.
Namun, drama belum berakhir apabila Zirkzee merapatkan jurang menerusi penyudah kemas sebelum Dorgu mengambil kesempatan daripada kegagalan penjaga gol Villa, Zion Suzuki, menyambut sepakan penjuru pada minit ke-96.
– ‘Kami mahukan pemilik baharu’ –
Carrick sebelum ini diberi peluang untuk terus mengendalikan pasukan selepas kekalahan besar 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth dua minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau kini berdepan penantian penuh debar untuk mengetahui sama ada pihak pengurusan United akan melantik pengganti sebelum kunjungan sukar ke Liverpool pada 22 November.
“Kami belum memenangi perlawanan yang mencukupi, tetapi saya menjangkakan kami akan terus mara ke hadapan dan bekerja keras memperbaiki perkara yang sedang kami usahakan,” kata Carrick kepada Sky Sports.
Bekas pengurus Newcastle United, Eddie Howe dan bekas jurulatih Bayern Munich serta Jerman, Julian Nagelsmann, antara calon utama sekiranya Carrick dipecat.
Keputusan perlawanan pada Sabtu menyaksikan United tergelincir ke zon penyingkiran selepas Ogos buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.
Keputusan seri itu mengekalkan mereka dalam kelompok tiga terbawah dengan hanya mengumpul lapan mata daripada 10 perlawanan.
Buat kali pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL), United ketinggalan 0-2 dalam tempoh empat minit pertama, sebahagian besarnya berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Lammens.

Penjaga gol dari Belgium itu gagal menghalang rembatan Alysson yang melepasi celah kakinya ketika perlawanan baru berlangsung seminit.
Kurang tiga minit kemudian, Lammens sekali lagi gagal mengawal rembatan lemah Alysson sebelum bola muntah memberikan peluang mudah kepada Nicolas Jackson untuk menjaringkan gol keenamnya dalam enam perlawanan liga terakhir.
Penyokong United sekali lagi menyuarakan kemarahan terhadap pemilik kelab sebelum sepak mula.
Satu sepanduk tertera: “Kami tidak mahukan stadium baharu, kami mahukan pemilik baharu,” ketika bantahan terhadap rancangan berpindah dari Old Trafford semakin memuncak.
Kemarahan itu kemudian ditujukan kepada pemain menerusi laungan “kamu tidak layak memakai jersi ini” susulan gol kedua Villa.
Namun, kejutan akibat ketinggalan dua gol menyaksikan United kembali bangkit, sama seperti ketika menentang Roma.
Seperti aksi menentang Roma, kebangkitan kali ini bermula apabila Matheus Cunha memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes.
United kemudian meningkatkan tekanan sebelum Tielemans menyamakan kedudukan menerusi rembatan rendah yang menewaskan Suzuki menjelang rehat.

Apa yang sepatutnya menjadi titik permulaan kepada satu lagi kebangkitan hebat pantas bertukar sebaliknya pada awal separuh masa kedua.
Dalot melakukan terjahan terburu-buru sehingga menjatuhkan Alysson, sekali gus memberikan peluang kepada McGinn untuk menebus kesilapannya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 1-1 menentang Fulham minggu lalu.
Beberapa saat kemudian, tandukan Leny Yoro terhadap sepakan percuma McGinn terkena palang gol sendiri sebelum Goretzka menolak bola melepasi garisan gol dalam perebutan di hadapan pintu gol.
Babak akhir perlawanan berlangsung dengan laungan bantahan berterusan terhadap keluarga Glazer, pemilik kelab dari Amerika Syarikat yang tidak disenangi penyokong, sebelum United sekali lagi bangkit menyelamatkan keadaan.
Penyudah tenang Zirkzee kembali membangkitkan semangat penyokong tuan rumah dan meletakkan Villa dalam keadaan tertekan.
Unai Emery nyata kecewa apabila anak buahnya gagal menahan asakan terakhir United selepas Suzuki gagal menangkap sepakan penjuru Fernandes, sekali gus memberikan peluang kepada Dorgu untuk menyamakan kedudukan.
“Saya kecewa, tetapi kami akan terus melangkah ke hadapan,” kata Emery. “Sangat penting untuk menganalisis perlawanan ini secara mendalam.” – AFP





