Masih rindukan Moses? Aidil minta penyokong beri peluang kepada Kaishu

Facebook
WhatsApp
AIDIL Sharin Sahak ketika sidang media selepas perlawanan Kuching FC melawan Selangor FC pada aksi perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, di Petra Jaya, malam tadi.

PETRA JAYA, 9 November: Penyokong Kuching City FC diminta tidak terus membayangi prestasi pemain tengah pasukan itu, Kaishu Yamazaki dengan membandingkannya dengan bekas pemain, Moses Atede Jona, sebaliknya memberi peluang kepadanya membuktikan kemampuan musim ini.

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau sudah mengenali kualiti Kaishu sejak bekerjasama dengannya di Indonesia dan Singapura, justeru yakin pemain itu mampu memberikan sumbangan besar kepada pasukan.

Menurutnya, Kaishu sebelum ini berdepan masalah kecederaan, namun kini semakin menemui rentak terbaik seperti yang ditunjukkan menerusi dua penampilan terakhir.

“Musim lalu adalah musim lalu. Musim ini Kaishu bermain untuk saya di Indonesia dan Singapura. Saya tahu kualitinya.

“Sebelum ini dia mengalami kecederaan dan sekarang dia kembali ke tahap terbaiknya. Saya berharap dia dapat mengekalkan konsistensi,” katanya pada sidang media selepas membantu Kuching City menewaskan Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, malam tadi.

Aidil berkata, penilaian terhadap seseorang pemain perlu dibuat secara objektif berdasarkan prestasi semasa dan sumbangannya kepada pasukan, bukannya terikat dengan reputasi atau perbandingan dengan pemain terdahulu.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan pemain, beliau menegaskan keputusan menurunkan seseorang pemain dibuat berdasarkan kemampuan individu melaksanakan perancangan taktikal pasukan dan bukannya populariti atau status sebagai pemain bintang.

Menurutnya, bola sepak moden menuntut komitmen secara kolektif dengan setiap pemain perlu memahami peranan masing-masing ketika menyerang mahupun bertahan.

“Saya tidak memilih pemain bintang atau berdasarkan individu semata-mata kerana bola sepak sekarang adalah mengenai pasukan.

“Penting untuk kita mempunyai masa apabila membawa masuk pemain baharu. Kita perlu bersabar untuk membangunkan mereka dan memberikan galakan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.

Beliau turut meminta penyokong memberikan ruang kepada pemain baharu untuk membina keserasian dan menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan, terutama selepas melalui jadual perlawanan serta perjalanan jauh.

Aidil berharap tempoh rehat selepas ini dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki prestasi dan membina semula kekuatan pasukan secara kolektif bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Oleh Shahrul Qaizat