SIBU, 8 November: Seramai sembilan orang suspek yang ditahan disyaki terlibat dalam kes kematian seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian pergaduhan di bandar ini, telah dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bahawa kesemua sembilan suspek telah dibawa ke mahkamah seawal 7.15 pagi tadi.
“Mahkamah telah membenarkan permohonan untuk menahan reman kesemua sembilan suspek selama tujuh hari sehingga 15 November ini,” jelasnya.
Beliau memberitahu, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa telah selesai tadi dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan pada bahagian dada.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”ujarnya.
Terdahulu dalam kejadian semalam (7 November), seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia dipercayai ditikam dengan menggunnakan objek tajam dalam pergaduhan.
Bertindak atas laporan yang diterima kira-kira 2.00 pagi (7 November), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu yang dipercayai terbabit.
Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan sekitar 10.00 pagi sehingga 4.00 petang semalam, pihak polis telah berjaya menahan kesemua suspek di beberapa lokasi sekitar Sibu bagi membantu siasatan.
Oleh Akun Giman




