Abang Johari beri bayangan empat wakil rakyat PBB kekal bertanding

Facebook
WhatsApp
BAYANGAN CALON... Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan empat penyandang kerusi DUN daripada PBB, iaitu Datuk Ibrahim Baki (Satok), Dato Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Hamzah Brahim (Stakan) dan Datuk Martin Ben (Kedup), berpeluang mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN Sarawak ke-13.

KUCHING, 8 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan empat wakil rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpeluang mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Mereka ialah Datuk Ibrahim Baki (Satok), Dato Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Hamzah Brahim (Stakan) dan Datuk Martin Ben (Kedup).

Bayangan itu disuarakan Abang Johari ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB, apabila beliau menyatakan harapan agar keempat-empat wakil rakyat berkenaan terus mengekalkan kedudukan masing-masing.

“Jadi hari tok sik payahlah saya cakap banyak, tapi saya nak madah kitak, tetap sidak YB tok semua jadi Yang Berhormat lagi. Biar jadi Yang Berhormat,” katanya secara berseloroh.

Dalam ucapannya, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, terdapat tiga teras utama yang menjadi asas pembangunan Sarawak di bawah pentadbiran gabungan itu, iaitu pengukuhan ekonomi, kebajikan rakyat dan pendidikan.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi yang berdaya saing penting bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda Sarawak.

Dalam aspek kebajikan, beliau menyentuh pelaksanaan Skim Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sebagai antara inisiatif kerajaan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Katanya, bantuan dan sokongan kerajaan turut merangkumi golongan muda yang masih bersekolah serta mereka yang melanjutkan pengajian ke universiti.

Sementara itu, dalam bidang pendidikan, beliau berkata kerajaan Sarawak menyediakan peluang kepada anak muda melanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti dengan pembiayaan yuran pengajian.

Beliau turut menyentuh perancangan pembangunan universiti teknologi di Kampung Trombol yang akan memberi tumpuan kepada bidang teknologi termasuk aeroangkasa.

Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak perlu terus ditadbir oleh anak Sarawak sendiri melalui parti yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat negeri ini.

Beliau turut mengingatkan jentera Pemuda PBB supaya mengekalkan semangat perjuangan dan tenaga bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta masa depan Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi