KUCHING, 8 November: Jentera Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa mempergiat gerak kerja bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 12 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program konvoi motosikal bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini bukan sekadar aktiviti bersama pemimpin, sebaliknya bertujuan menggerakkan jentera parti menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, seluruh jentera perlu memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian bagi merealisasikan sasaran kemenangan GPS di seluruh Sarawak.

Menurutnya, komitmen dan usaha berterusan jentera parti amat penting dalam memastikan sokongan yang diterima diterjemahkan kepada undi pada 12 Disember nanti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Abang Johari kerana meluangkan masa menyertai konvoi motosikal bersama anggota Pemuda PBB, selain menyifatkan penyertaan itu sebagai gambaran kebersamaan pemimpin dengan jentera parti.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, beliau yakin jentera Pemuda mempunyai kekuatan dan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sepanjang tempoh berkempen.

Jelasnya, berharap usaha dan komitmen seluruh jentera akan membuahkan hasil serta membawa kejayaan kepada GPS demi masa depan Sarawak
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program konvoi Pemuda PBB yang disertai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, melibatkan kira-kira 150 motosikal dari Dewan Matang Batu 10 menuju Dewan Kampung Stakan Melayu, hari ini.
Oleh Afiq Sallehi




