Deepavali: Semangat perpaduan serikan sambutan di Sabah, Sarawak

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai menjamu selera pada Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Bukit Padang Kota Kinabalu hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 November: Biarpun bilangan penganut Hindu di Sabah dan Sarawak tidak ramai, semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kepelbagaian jelas terserlah pada sambutan Deepavali hari ini apabila masyarakat berbilang latar belakang turut berkongsi kegembiraan meraikan Pesta Cahaya.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2026, populasi kaum India di Sarawak dianggarkan kira-kira 5,000 orang atau 0.2 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta penduduk negeri itu, manakala di Sabah pula mencatatkan kira-kira 6,000 orang iaitu 0.2 peratus daripada 3.77 juta penduduknya.

Di SARAWAK, sambutan tahun ini memberi pengalaman berbeza buat seorang anggota tentera, R Ruhthiran, 20, apabila buat julung kalinya meraikan perayaan berkenaan berjauhan daripada keluarga di Klang, Selangor.

PENGANUT Hindu melakukan upacara keagamaan sempena perayaan Deepavali ketika tinjauan Bernama di Kuil Sri Maha Mariamman hari ini. Foto Bernama

Bertugas di Kem Penrissen, Kuching, anak kedua daripada lima beradik itu menyifatkan pengorbanan berjauhan dengan keluarga adalah sebahagian daripada tuntutan tugas demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Memang rindu sedikit, tetapi seronok juga berada di sini. Kerja sebagai askar memang begini, perlu berjauhan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui bersempena dengan sambutan Deepavali di Kuching sebelum melakukan upacara sembahyang di Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Lintang.

Katanya, rutin perayaan biasanya bermula seawal pagi dengan upacara mandi minyak sebelum mengenakan pakaian baharu dan berkunjung ke kuil untuk sembahyang sekitar 8 pagi.

UPACARA KEAGAMAAN… Penganut Hindu menunaikan upacara keagamaan sempena sambutan Deepavali di Kuil Sri Maha Mariamman ketika tinjauan Bernama hari ini. Foto Bernama

“Antara hidangan sarapan yang disediakan ibu ialah idli dan tose,” katanya menambah selepas selesai sembahyang, dia dan keluarga lazimnya pulang ke rumah sebelum mengunjungi saudara-mara.

Ruhthiran turut bersyukur urusan ibadatnya dipermudah dengan bantuan anggota tentera senior yang pernah bertugas di Sarawak bagi mendapatkan lokasi kuil.

Bagi penduduk tempatan, Pramod Kumar, 67, sambutan Deepavali di Kuching tetap membawa makna istimewa meskipun diraikan dalam skala lebih kecil berikutan jumlah penganut Hindu yang merupakan kelompok minoriti di negeri itu.

“Biasanya, kami akan memulakan hari dengan sembahyang di kuil. Sebagai perayaan cahaya, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk meraikannya bersama-sama serta berdoa memohon keberkatan,” katanya.

Mengulas perbezaan sambutan Deepavali di Kuching berbanding Semenanjung Malaysia dan India, Pramod berkata perayaan itu diraikan dengan cara yang hampir sama, namun dalam skala lebih kecil berikutan jumlah masyarakat Hindu yang rendah di Sarawak.

SAMBUTAN DEEPAVALI… Penganut Hindu menyempurnakan upacara keagamaan di Kuil Sri Maha Mariamman sempena perayaan Deepavali ketika tinjauan Bernama hari ini. Foto Bernama

Sementara itu di SABAH, kemeriahan sambutan Deepavali turut dirasai dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama yang bersama-sama memeriahkan suasana di Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Kota Kinabalu.

Seorang pengunjung, Geoffrey Lo, 50, berkata dia teruja kerana ini merupakan pengalaman pertamanya berkunjung ke sambutan di kuil berkenaan.

“Saya amat teruja kali pertama datang di sini…makanan yang dihidangkan juga sedap,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijadual memeriahkan Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Deepavali 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), tengah hari ini.- Bernama