KABONG, 8 November: Komitmen terhadap pembangunan sukan komuniti terus diperkukuh apabila Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, turun padang menyantuni pasukan tarik tali TrassMerah Kabong ketika sesi latihan mereka di Padang Bola Sepak Kabong, semalam.
Kehadiran beliau bukan sekadar pertemuan biasa, malah menjadi suntikan motivasi kepada para pemain yang sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pertandingan akan datang.
Dalam pertemuan tersebut, Chee Kadir meluangkan masa beramah mesra dengan anggota pasukan serta menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka, khususnya golongan belia yang menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dan positif.
Menurut beliau, penglibatan dalam aktiviti sukan seperti tarik tali bukan sahaja mampu meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk disiplin diri, mental yang kental serta semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta.
“Sukan tarik tali memerlukan kekuatan fizikal, strategi dan kesepakatan setiap ahli pasukan. Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berdisiplin,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sukan menjadi platform terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam komuniti.
Chee Kadir sentiasa menggalakkan golongan muda agar mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat serta menjauhi gejala negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Katanya, belia perlu diberi ruang dan sokongan untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam pelbagai bidang termasuk sukan.
Beliau berharap pasukan TrassMerah Kabong terus mengekalkan semangat juang, memperkukuh latihan dan meningkatkan prestasi bagi mencapai kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai.
Kunjungan tersebut sekali lagi membuktikan pentingnya hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat dalam menyokong usaha pembangunan belia serta memartabatkan aktiviti sukan di peringkat akar umbi.
“Sukan bukan sahaja membina tubuh yang sihat, tetapi juga membentuk perpaduan, kepimpinan dan jati diri masyarakat yang kukuh,” ujar beliau.
Oleh Adi Safarman




