DARO, 8 November: Pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh menjadi antara pemangkin utama perubahan landskap pembangunan Pulau Bruit.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan Sarawak sejak lebih sedekad lalu telah membawa perubahan ketara terhadap kehidupan penduduk, khususnya dari segi jaringan jalan raya dan kemudahan asas.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membantu golongan nelayan dan petani memasarkan hasil mereka ke kawasan yang lebih luas.
“Pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh, selain jaringan jalan raya, telah meningkatkan hubungan antara Pulau Bruit dengan kawasan sekitarnya sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan aktiviti ekonomi.
“Kemudahan infrastruktur turut memberi manfaat kepada golongan nelayan dan petani, khususnya dalam memasarkan hasil pertanian serta tangkapan laut ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani di Tapak Utama Pesta, semalam.
Katanya, penyediaan kemudahan bekalan elektrik dan penyimpanan sejuk turut memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan ekonomi penduduk, terutama sektor perikanan.

Dalam pada itu, beliau melihat penganjuran Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani sebagai platform berpotensi untuk mengetengahkan keunikan Pulau Bruit sebagai destinasi pelancongan.
Tambahnya, pesta tersebut berpotensi dikembangkan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak bagi menarik lebih ramai pengunjung
Penganjurannya juga membuka peluang kepada usahawan setempat menjana pendapatan menerusi jualan makanan, kraftangan dan penyediaan penginapan kepada pengunjung.
Abdul Karim berharap pembangunan infrastruktur dan penganjuran acara pelancongan dapat terus memberikan manfaat kepada penduduk, selain merancakkan aktiviti ekonomi di Pulau Bruit.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa memelihara keharmonian dan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran sosial seiring dengan perkembangan pembangunan.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk masalah penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan komuniti terus terpelihara.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup.
Oleh Earl Anek





