SIBU, 8 November: Kebajikan golongan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu terus diberi perhatian bagi memastikan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara sentiasa dihargai.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, tanggungjawab memastikan bekas anggota tentera dan keluarga mereka mendapat sokongan sewajarnya tidak seharusnya terhenti selepas mereka menamatkan perkhidmatan.
“Kita mesti memastikan kehidupan para veteran dan ahli keluarga mereka mendapat sokongan serta bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Malam Warisan Samudera Gala Amal Veteran anjuran Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Menurutnya, pengalaman sepanjang menjalankan tugas, termasuk keberanian, disiplin dan semangat tanggungjawab yang ditunjukkan ketika melaksanakan misi, merupakan sumbangan besar yang perlu terus dikenang.
Sehubungan itu, beliau berkata, pengalaman kepimpinan yang dimiliki golongan veteran juga wajar dimanfaatkan sebagai panduan kepada generasi muda.
“Pengalaman kepimpinan dan disiplin yang dimiliki oleh para veteran inilah merupakan aset berharga yang boleh diwariskan kepada generasi muda,” katanya.
Pada majlis sama, Tiong menyampaikan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada Lans Koperal (B) Sigai Endawan @ Nawan dan Laksamana Pertama Dato’ Anuar Alias.
Beliau turut mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak bagi membantu membiayai aktiviti serta pengurusan persatuan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting



