PBB Saribas perkemas jentera, sasar kemenangan lebih besar GPS pada PRN13

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Pemantapan Jentera Pilihan Raya dan Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengira Undi (PACA) yang berlangsung di Dewan Perpaduan, Debak. Foto PK N35 Saribas

DEBAK, 8 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Saribas mempergiat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) menerusi pemantapan jentera pilihan raya dan latihan khusus kepada petugas di peringkat akar umbi bagi memastikan kemenangan lebih besar buat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Usaha itu diterjemahkan melalui Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya dan Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengira Undi (PACA) yang berlangsung di Dewan Perpaduan, Debak, semalam.

Program berkenaan memberi fokus kepada pengukuhan organisasi parti, penyelarasan strategi kempen serta peningkatan kefahaman petugas mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sepanjang proses pilihan raya.

Majlis penangguhan disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi PBB, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, yang turut menyampaikan taklimat mengenai persiapan politik semasa, perkembangan keahlian parti dan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober lalu membuka laluan kepada PRN13 dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.

Dr Mohammad Razi berkata, sokongan rakyat terhadap GPS dan PBB di kawasan DUN Saribas terus menunjukkan peningkatan positif berdasarkan prestasi pilihan raya negeri pada 2011, 2016 dan 2021.

DR Richard Rapu menyampaikan cenderahati kepada Dr Mohammad Razi Sitam. Foto PK N35 Saribas

“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat seluruh jentera parti, kepimpinan cawangan, ahli jawatankuasa ranting serta sokongan berterusan pengundi.

“Justeru, semua petugas perlu terus memperkukuh kesepaduan pasukan dan memperhebat gerak kerja di lapangan bagi memastikan kemenangan besar GPS pada PRN13,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Cawangan PBB Saribas memaklumkan jumlah pengundi berdaftar di DUN Saribas kini meningkat kepada 17,383 berdasarkan Daftar Pemilih Tetap (DPT) September 2026, berbanding 10,984 pengundi pada PRN12 tahun 2021.

Peningkatan sebanyak 6,399 pengundi itu dipengaruhi pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat berusia 18 tahun ke atas serta pertambahan pengundi yang membuat pemindahan tempat mengundi.

Dari aspek keahlian, PBB Saribas merekodkan seramai 9,793 ahli sehingga Oktober 2026. Usaha memperluas keahlian terus dipergiat melalui pembukaan kaunter pendaftaran dalam pelbagai program komuniti dengan kerjasama Pejabat PBB.

Selain persediaan menghadapi pilihan raya, Dr Mohammad Razi turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan Saribas melalui pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Katanya, usaha pembangunan tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang bertujuan menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, berpendapatan tinggi dan mampan menjelang 2030.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Setiausaha Eksekutif PBB Negeri Sarawak, Datuk Takun Sunggah; serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB Sarawak, Sulhi Saleh.

Oleh Adi Safarman