SHEDA digesa manfaatkan AI, perluas kerjasama antarabangsa

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi. Foto Nadya Victoria

KUCHING, 8 November: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) digesa memanfaatkan kemajuan kecerdasan buatan (AI) serta memperluas kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh daya saing industri hartanah Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan AI perlu melengkapi keupayaan manusia, bukannya menggantikan kemahiran, kreativiti dan pertimbangan dalam membuat keputusan.

Katanya, pemain industri perlu terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

“AI mempunyai keupayaan besar untuk membantu kita mencapai kemajuan, namun ia perlu melengkapi dan bukannya menggantikan keupayaan manusia untuk belajar, memahami, menilai serta membuat keputusan secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Abang Johari turut menggalakkan SHEDA meneroka peluang kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memperluas pengaruh persatuan itu dalam industri pembangunan hartanah.

Menurutnya, pencapaian SHEDA termasuk penubuhan SHEDA Institute, penganjuran persidangan SHEDA: Encore serta pengiktirafan sebagai penyedia latihan di bawah HRD Corp membuktikan kesediaan persatuan itu mengembangkan peranannya dalam industri.

DATUK Amar Dr Sim Kui Hian (tengah) bergambar bersama tetamu dan ahli SHEDA ketika menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di BCCK, Kuching. Foto Adele Rissa

Katanya, kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan dan Pelaburan Sarawak (STATOS) serta Business Events Sarawak (BE Sarawak) boleh diteroka bagi menarik delegasi dan penceramah dari ASEAN, China, Korea Selatan serta Australia ke persidangan SHEDA: Encore.

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan antarabangsa, malah memperluas perkongsian kepakaran dan penyelidikan berkaitan industri hartanah.

Tambahnya, SHEDA juga digalakkan menganjurkan lawatan sambil belajar serta membawa pakar antarabangsa ke Sarawak bagi mendapatkan pendedahan mengenai penyelesaian terhadap cabaran industri tempatan, termasuk keadaan tanah lembut dan masalah banjir.

Menurutnya, perkongsian pengetahuan dan pengalaman itu penting dalam memperkasa generasi baharu jurutera, arkitek serta penggiat industri pembinaan di Sarawak.

Oleh Adele Rissa

3M2L: Cadangan Pan Baram 200 kilometer diteliti

MIRI, 7 November: Cadangan pembangunan jaringan jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Baram menerusi laluan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (3M2L) akan diteliti