Populariti penggiat muzik Dayak perlu seiring kualiti karya

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN....Malcolm menyempurnakan perasmian Konsert Majlis Makan Malam SPDS di sebuah restoran di sini malam tadi. Turut kelihatan ialah Depha Masterpiece.

SIBU, 8 November: Penggiat muzik Dayak di Sarawak perlu mengutamakan kualiti karya dan tidak hanya mengejar populariti sekiranya mahu membina reputasi serta mendapat pengiktirafan dalam industri muzik.

Penasihat Persatuan Pengkarya Muzik Dayak Sarawak (SPDS), Malcolm Layang Jimbun berkata, populariti perlu disertai mutu penghasilan muzik yang baik bagi memastikan seseorang artis bukan sahaja dikenali, malah dihormati dalam industri.

Menurutnya, penggiat muzik perlu berani mengetengahkan hasil ciptaan sendiri, selain sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dan tidak takut melakukan kesilapan dalam proses menghasilkan karya.

“Jangan hanya mahu dikenali, sebaliknya kita mesti berusaha untuk dihormati. Populariti perlu datang bersama kualiti kerana kualiti merupakan perkara paling penting dalam menghasilkan karya dan membina nama dalam industri muzik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konsert Majlis Makan Malam SPDS di sebuah restoran di sini malam tadi.

Malcolm berkata, perkembangan teknologi digital dan media sosial turut membuka peluang lebih luas kepada penggiat muzik untuk mempromosikan karya serta memperkenalkan bakat mereka kepada khalayak.

Katanya, penggiat muzik perlu meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi terkini, khususnya dalam proses penghasilan lagu dan muzik, bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam industri yang semakin berkembang.

“Jangan takut melakukan kesilapan kerana daripada kesilapan kita belajar. Kita juga mesti berani membawa dan mengetengahkan karya sendiri dengan memanfaatkan teknologi yang semakin berkembang pesat,” katanya.

Beliau menegaskan pembangunan bakat baharu dan usaha melahirkan pelapis perlu diberikan perhatian bagi memastikan kesinambungan industri muzik Dayak pada masa hadapan.

Menurutnya, SPDS perlu menyediakan lebih banyak peluang kepada artis baharu untuk menonjolkan kebolehan mereka dan tidak hanya mengukur kejayaan persatuan berdasarkan jumlah program yang dianjurkan.

Malcolm yang juga Naib Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.64 Baleh turut menggesa anggota SPDS supaya terus bersatu, bekerjasama dan saling menyokong dalam usaha mengangkat martabat muzik Dayak.

Katanya, konsert berkenaan bukan sahaja menjadi platform menghimpunkan penggiat muzik dari seluruh Sarawak, malah mengeratkan hubungan serta jaringan dalam kalangan pemain industri.

Konsert itu menampilkan 11 artis dan kumpulan muzik, iaitu Josh JD, Nicholas, Gwen, Dara Helena, Select Band, Radak Nyawa, Lemambang Lemai, Majestica, The Crew, Ethnic Transmissions dan Masterpiece.

Turut hadir Presiden SPDS, Depha Masterpiece dan Timbalan Presiden SPDS, Willy Edwin.

Oleh Akun Giman