KOTA SAMARAHAN, 7 November: Dua graduan Program Sains Tumbuhan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menerima pengiktirafan industri menerusi anugerah yang disampaikan oleh Persatuan Kayu-Kayan Sarawak (STA) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sempena Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30.
Pengiktirafan itu diberikan kepada Raihanna Irdinna Ramli dan Anastasia Kosmas Se’ek sebagai menghargai kecemerlangan akademik, pencapaian penyelidikan serta sumbangan mereka dalam bidang sains tumbuhan dan pengurusan hutan lestari.
Raihanna menerima Anugerah Pelajar Graduan Terbaik STA berserta wang tunai RM1,000, plak dan sijil. Beliau turut menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan bagi kategori prasiswazah sebagai pengiktirafan khas daripada pihak fakulti.
Sementara itu, Anastasia meraih tiga pengiktirafan, iaitu Anugerah Projek Tahun Akhir Terbaik STA, Anugerah Akademik MTCC dalam Pengurusan Hutan Lestari dan Pensijilan Kayu serta Anugerah Graduan Terbaik Program Sains Tumbuhan.
Menerusi Anugerah Projek Tahun Akhir Terbaik STA, Anastasia menerima wang tunai RM500, plak dan sijil, manakala MTCC menyampaikan wang tunai RM1,000 berserta sijil bagi Anugerah Akademik MTCC.

Kerjasama antara MTCC dengan Unimas dalam penganugerahan berkenaan bermula pada 2021 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong pembangunan modal insan dan kepakaran dalam bidang pengurusan hutan lestari serta pensijilan kayu.
Majlis penyampaian anugerah khas fakulti dan anugerah industri itu berlangsung selepas Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30 pada 2 November.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, bersama Naib Canselor Unimas, Profesor Dato Dr. Ahmad Hata Rasit serta isteri beliau, Profesor Datin Dr. Ramlah Zainudin.
Turut hadir ialah Dekan FSTS, Profesor Ts. Dr. Faisal Ali Anwarali Khan, manakala anugerah STA disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Annie Ting, yang hadir bersama dua Penolong Pengurus STA, Dr. Suzie Adee dan Yii Yien Yien.
Pencapaian kedua-dua graduan itu mencerminkan keberkesanan kerjasama antara institusi akademik dengan pihak industri dalam melahirkan graduan berkualiti, selain memperkukuh pendidikan dan penyelidikan bagi menyokong pembangunan bakat serta kelestarian sumber.
Oleh Adele Rissa





