SARIKEI, 7 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang berada pada tahap kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas persiapan organisasi dan pembahagian tanggungjawab dimulakan sejak awal tahun ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang yang juga Ketua Cawangan PBB Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan lanjut bagi memperhalusi penyelarasan jentera pilihan raya di peringkat cawangan.
Katanya, ahli-ahli telah dilantik bagi melaksanakan tugasan pilihan raya di Kuala Rajang dan telah mengikuti taklimat Ejen Tempat Mengundi (ETM) dan Ejen Mengira Undi (EMU) yang diadakan semalam di bawah kendalian Setiausaha Eksekutif PBB, Datu Takun Sunggah.
“Dari segi peringkat cawangan Kuala Rajang, kita telah membuat persiapan ini dah lama dan hanya menunggu arahan tertentu untuk kita memperhalusi jentera-jentera berkenaan.
“Juga dari segi ahli-ahli untuk kita galaskan tugas dalam jawatankuasa, kita telah bersedia awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Persediaan Pilihan Raya sempena Program Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, hari ini.
Mengulas persiapan PRN Sarawak ke-13 secara keseluruhan, Len Talif berkata, beberapa siri mesyuarat dan perbincangan telah diadakan di bawah penyelarasan Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Tambahnya, persiapan yang disusun secara rapi itu bertujuan memastikan jentera parti di setiap peringkat dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila pilihan raya berlangsung.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya diberikan perhatian apabila menjelang pilihan raya.
Katanya, beliau hampir setiap minggu turun padang di kawasan Kuala Rajang sejak beberapa tahun lalu bagi mendekati masyarakat dan memantau pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan kerajaan.
“Kita tidak menunggu pilihan raya untuk menjalankan tanggungjawab kita. Bagi saya, hampir tiap-tiap minggu berada di kawasan Kuala Rajang bukan sahaja tahun ini, tetapi juga tahun-tahun sebelumnya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab.
“Terutama sekali dari segi pelaksanaan projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan sama ada di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) ataupun agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Jelasnya, PRN kali ini juga merupakan peluang kepada rakyat untuk menilai pencapaian dan pelaksanaan tanggungjawab yang telah dijalankan oleh wakil rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sambutan dan maklum balas masyarakat Kuala Rajang berhubung pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut.
Len Talif turut menyifatkan hubungan antara kepimpinan tertinggi PBB dengan anggota akar umbi sebagai antara faktor penting dalam memperkukuh organisasi parti menjelang pilihan raya.
Katanya, hubungan erat yang telah lama terjalin tersebut turut memberikan keyakinan kepadanya terhadap kemampuan PBB menghadapi PRN Sarawak ke-13.
“Memang PBB dari segi sejarahnya mempunyai perhubungan yang begitu rapat sekali daripada peringkat atasan dan juga akar umbi.
“Oleh sebab itu, saya rasa yakin, PBB kali ini akan terus mendapat kejayaan yang besar seperti yang kita alami sebelum ini,” katanya.
Oleh Earl Anek





