GPS perlu menang besar untuk pastikan agenda pembangunan Sarawak berjalan lancar – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kemenangan besar GPS pada PRN Sarawak ke-13 penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan, kesejahteraan rakyat serta usaha mempertahankan hak Sarawak.

PETRA JAYA, 4 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan, kebajikan rakyat terus terpelihara serta hak Sarawak terus dipertahankan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemenangan besar GPS penting bagi membolehkan perancangan pembangunan kerajaan negeri dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memastikan Sarawak terus maju.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kemenangan besar itu akan menjadi dorongan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk terus memimpin negeri ini.

“Kalau boleh semua 82 kerusi. Ini penting untuk memastikan apa juga perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar, dan Sarawak akan terus menginjak maju serta menjadi contoh.

“Kemenangan mutlak penting supaya ia memberi dorongan kepada Premier kita, Abang Jo, untuk terus memimpin. Ini adalah untuk kepentingan kemajuan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh Sarawak, di samping mempertahankan segala hak negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Mengulas persediaan PBB menghadapi PRN, Awang Tengah berkata, parti itu telah melengkapkan persiapan jentera pilihan raya, termasuk memperkemas gerak kerja bagi memastikan seluruh organisasi bersedia menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, kekuatan PBB bukan sahaja terletak pada gerak kerja ketika musim pilihan raya, malah parti itu sentiasa bergerak bersama rakyat dalam apa jua keadaan.

Katanya, pendekatan itu turut diamalkan oleh parti komponen GPS yang sentiasa mendampingi masyarakat, sama ada ketika berdepan kesusahan mahupun ketika menikmati keadaan yang lebih baik.

“PBB bekerja bukan masa pilihan raya sahaja. Ia menjadi satu institusi. Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun kita bergerak bersama rakyat, semasa susah mahupun senang,” katanya.

Mengenai pemilihan calon bagi PRN akan datang, termasuk kerusi DUN Bukit Sari yang disandangnya, Awang Tengah berkata, mesyuarat MKT PBB bersetuju memberikan mandat penuh kepada Presiden PBB merangkap Pengerusi GPS, Abang Johari, untuk menentukan calon yang akan bertanding.

Oleh Afiq Sallehi