PETRA JAYA, 4 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi mandat penuh kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membuat keputusan muktamad berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mandat itu turut dipersetujui semua parti komponen GPS dalam mesyuarat gabungan berkenaan sebelum ini.
Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Operasi GPS bagi menghadapi PRN akan datang berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB dalam mesyuarat yang dipengerusikan Abang Johari.
“Semua setuju dan menyokong penuh untuk memberi mandat kepada Yang Berhormat Presiden membuat keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Jalan Bako, Petra Jaya.
Mengulas kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dalam kalangan penyandang PBB, Uggah berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Malah, beliau berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan perbincangan khusus mengenai perkara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata GPS telah menubuhkan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 yang merangkumi 13 jawatankuasa bagi menyelaras persiapan menghadapi pilihan raya.
Antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah sekretariat, projek dan manifesto, perisikan, lawatan VIP, logistik dan udara, kewangan, keselamatan serta perundangan.
Beliau berkata, semua cawangan PBB di seluruh Sarawak turut diminta supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengenai manifesto GPS, Uggah berkata dokumen berkenaan masih dalam proses penyediaan, manakala kandungannya hanya akan diumumkan ketika pelancaran kelak.
Uggah turut memaklumkan tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan calon GPS masih belum ditetapkan.
Oleh Afiq Sallehi



