KUALA LUMPUR, 4 November: Harga runcit RON97 turun 20 sen kepada RM4.70 seliter, manakala harga RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen kepada RM4.27 dan RM5.12 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 November ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penetapan harga itu dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), berbanding harga semasa masing-masing RM4.90, RM4.42 dan RM5.27 seliter bagi RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi.
“Pasaran petroleum serantau menunjukkan tanda penyederhanaan berikutan peningkatan bekalan bahan api bertapis, termasuk stok petrol dan diesel di Singapura yang menjadi antara rujukan pasaran bagi penetapan harga petroleum di Malaysia.
“Perkembangan ini, bersama penurunan harga minyak mentah Brent pada penghujung tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), memberi petunjuk kepada kemungkinan tekanan harga yang lebih rendah,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, MOF memaklumkan bahawa ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus menimbulkan risiko terhadap kestabilan harga petroleum dunia.
Sementara itu, harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal RM1.99 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.28 seliter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi bagi tempoh berkenaan.
Bagi BUDI Diesel pula, harga diesel kepada penerima yang layak kekal RM2.10 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.02 seliter atau 59 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Dalam pada itu, harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter, manakala harga diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Menurut MOF, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
MOF turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. – Bernama





