PETRA JAYA, 4 November: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh bergantung semata-mata pada kekuatan logo parti untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sebaliknya perlu mempunyai persediaan kempen, menguasai isu serta membina naratif politik yang kukuh bagi meyakinkan pengundi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas)), Datuk Abdullah Saidol berkata, setiap calon perlu bersedia menghadapi saingan sengit dengan memahami pencapaian kerajaan negeri serta berupaya menjelaskan dasar dan hala tuju pembangunan Sarawak kepada rakyat.
Katanya, antara perkara yang perlu diketengahkan termasuk pelaksanaan pendidikan percuma, pengambilalihan aset strategik serta peningkatan pendapatan negeri yang sebahagian besarnya disalurkan kepada pembangunan luar bandar.
“Calon jangan berharap menang hanya kerana logo GPS. Mereka sendiri harus arif dan bersedia dengan naratif politik masing-masing. Mereka mesti kelihatan seperti seorang yang akan ditentang oleh calon kuat.
“Kita bukan tidak yakin, tetapi perlu bersedia seolah-olah calon pembangkang yang akan dihadapi itu kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, di sini, hari ini.
Menurut Abdullah, calon GPS juga perlu bersedia menjawab serangan dan naratif pembangkang dengan fakta serta hujah yang meyakinkan, selain mengutamakan pendekatan positif dan progresif ketika menjelaskan pencapaian kerajaan negeri.
Mengulas kriteria pemilihan calon dari aspek usia, beliau menjelaskan bahawa Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tidak menetapkan had umur khusus.
Sebaliknya, Abang Johari lebih menekankan aspek kebijaksanaan, kematangan berpolitik serta keupayaan calon memahami perkembangan politik, ekonomi dan agenda pembangunan negeri.
Katanya, usia muda tidak semestinya menjamin seseorang mampu menjadi wakil rakyat yang berkesan tanpa pengetahuan dan pemahaman mencukupi. Pada masa sama, calon lebih berusia juga mempunyai kelebihan sekiranya memiliki pengalaman serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Premier mahukan kesungguhan dan kebijaksanaan dalam berpolitik. Bukan hanya bijak mengurus diri sendiri dan kawasan masing-masing, tetapi yang penting ialah bijak memahami agenda pembangunan.
“Jadi, rajinlah membaca dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan,” katanya.
Beliau berkata, Premier turut mahu barisan wakil rakyat GPS memiliki pemikiran yang progresif, kompetitif dan inovatif bagi menghadapi era baharu yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.
Dalam pada itu, Abdullah berkata proses penilaian calon turut mengambil kira aspek integriti, kesihatan dan latar belakang peribadi, termasuk hubungan serta pergaulan calon dengan individu yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka.
Mengulas corak pengundian, beliau berkata pengundi berusia antara 18 hingga 35 tahun mewakili hampir 40 peratus daripada kumpulan pengundi aktif berdasarkan data yang diperoleh.
Katanya, pendekatan menggalakkan pengundi keluar mengundi menerusi inisiatif Get Out The Vote (GOTV) perlu diperkukuh, khususnya bagi memastikan golongan muda menunaikan hak demokrasi mereka.
Pada masa sama, perhatian perlu diberikan kepada pengundi berusia 55 tahun ke atas menerusi persiapan jentera yang bersesuaian bagi memudahkan mereka keluar mengundi.
Beliau turut mengingatkan jentera pilihan raya supaya mengambil kira faktor cuaca memandangkan Sarawak kini memasuki musim tengkujuh, termasuk memastikan persiapan rapi dilaksanakan dan agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga.
Abdullah berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi bukan sahaja penting untuk memperkukuh proses demokrasi, malah mencerminkan kematangan rakyat Sarawak dalam menentukan hala tuju negeri.
Katanya, meskipun Sarawak mempunyai sekitar 2.7 juta penduduk, kadar penyertaan pengundi yang tinggi mampu memperlihatkan kesungguhan rakyat dalam menentukan masa depan negeri serta mencerminkan kematangan demokrasi di peringkat nasional.
Oleh Afiq Sallehi




