598 individu berprofil tinggi gagal carum Perkeso – Ramanan

Facebook
WhatsApp
MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Faedah PERKESO Kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara Perkeso hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 November: Sebanyak 598 individu berprofil tinggi termasuk orang kenamaan (VVIP), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikesan gagal mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja domestik mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang dikenal pasti tidak mematuhi kewajipan berkenaan berdasarkan semakan awal Perkeso setakat 1 Nov lepas.

Ditanya sama ada menteri turut tersenarai dalam kalangan majikan culas itu, beliau mendedahkan wujud individu berstatus lebih tinggi daripada anggota Jemaah Menteri dikesan melakukan kesalahan tersebut.

“Lebih besar daripada menteri pun ada… (598 individu berprofil tinggi) ini termasuk juga mereka yang menyandang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta… KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) memandang serius isu ketidakpatuhan pendaftaran dan pembayaran caruman Perkeso bagi pekerja domestik.

“Ini termasuk pembantu rumah yang digajikan oleh individu berprofil tinggi, orang kenamaan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta mana-mana pihak yang bertindak sebagai majikan,” katanya dalam sidang media Penyerahan Faedah Perkeso Kepada Mangsa Banjir Nepal di Menara Perkeso di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sehubungan dengan itu, Ramanan berkata semua majikan terbabit termasuk VVIP diberi tempoh hingga 7 Dis ini untuk memenuhi kewajipan mencarum dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang masih gagal berbuat demikian selepas tarikh berkenaan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan dimulakan dengan kompaun manakala majikan yang ingkar juga berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kita tidak mahu memalukan sesiapa… tolong semak sama ada sudah bayar atau belum… kalau sudah bayar, terima kasih… kalau belum bayar, tolong bayar… no one is above the law… undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan dan hak pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri pun masih gagal kita tunaikan… kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” katanya.

Ramanan turut mendedahkan sebanyak 26,669 majikan lagi dikesan mempunyai rekod tunggakan caruman yang kini memerlukan semakan dan tindakan susulan daripada Perkeso.

Sehubungan dengan itu, beliau telah mengarahkan Perkeso supaya tidak berkompromi dalam memperkukuh usaha pemantauan dan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka.

Ramanan berkata tujuan utama tindakan itu bukan untuk mengenakan kompaun atau denda tetapi bagi memastikan pekerja domestik mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya. – Bernama