Penjawat awam perlu berani buat keputusan tanpa kompromi integriti

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 4 November: Penjawat awam Sarawak perlu lebih berani dan yakin membuat keputusan dalam bidang kuasa masing-masing bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan dilaksanakan dengan pantas, cekap dan berkesan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelewatan dalam proses membuat keputusan boleh menjejaskan pelaburan, pembangunan, aktiviti perniagaan serta kehidupan rakyat.

KUMPULAN ALL STARS dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Premier Sarawak 2026 sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 hari ini. Foto UKAS

Sehubungan itu, beliau mahu setiap penjawat awam mempunyai keyakinan untuk bertindak tanpa mengetepikan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya mahukan perkhidmatan awam yang tangkas tanpa menjejaskan tadbir urus, tegas dalam membuat keputusan tanpa mengabaikan integriti serta yakin tanpa kehilangan akauntabiliti,” katanya.

KUMPULAN OK (Orang Kastam) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerima anugerah bagi Kategori Persekutuan sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 hari ini. Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, budaya kerja yang terlalu tertumpu kepada proses perlu beralih kepada pendekatan yang lebih berorientasikan hasil serta memberi impak nyata kepada masyarakat.

KUMPULAN EAGLE dari Majlis Perbandaran Sibu menerima anugerah bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 hari ini. Foto UKAS

Menurut beliau, peraturan dan prosedur pentadbiran kekal penting, namun tidak seharusnya menjadi penghalang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Katanya, setiap program dan perbelanjaan awam perlu dinilai berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, manakala projek yang disiapkan harus mencapai matlamat pembangunan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penjawat awam supaya sentiasa menilai keberkesanan proses kerja sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan bagi mengelakkan kerenah birokrasi yang tidak perlu.

KUMPULAN TAPOW dari Pejabat Residen Bahagian Mukah menerima anugerah bagi Kategori Pejabat Residen dan Daerah sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 di hari ini. Foto UKAS

Beliau menegaskan, penjawat awam tidak seharusnya membiarkan proses yang tidak diperlukan menghalang penyampaian perkhidmatan atau menunggu sesuatu masalah menjadi lebih serius sebelum mengambil tindakan.

“Permudahkan proses apabila boleh, lakukan penambahbaikan apabila perlu dan buat keputusan apabila keputusan diperlukan,” tegasnya.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Depan: Daripada Idea kepada Impak’ yang menekankan kepentingan transformasi pentadbiran, inovasi serta penyampaian perkhidmatan berorientasikan hasil.

Oleh Norman B