Suhaily tinjau kesiapsiagaan operasi AKPS di sempadan Serian–Tebedu

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah AKPS, CP Datuk Seri Suhaily Mohd Zain semasa lawatan kerja ke Pos Kawalan PGA Mongkos, Serian. Foto AKPS

SERIAN, 4 November: Kesiapsiagaan operasi dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia menjadi tumpuan lawatan kerja Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), CP Datuk Seri Suhaily Mohd Zain ke sektor Serian–Tebedu, semalam.

Lawatan tersebut melibatkan tiga lokasi kawalan sempadan, iaitu Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Mongkos dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Lawatan itu bertujuan meninjau secara langsung tahap kesiapsiagaan operasi, keupayaan kawalan dan penguatkuasaan serta cabaran yang dihadapi anggota dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan sempadan negara.

TINJAUAN kesiapsiagaan operasi dan kawalan keselamatan di Pos Kawalan PGA Mongkos, Serian, sempena lawatan kerja AKPS ke sektor sempadan Serian–Tebedu. Foto AKPS

Di Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, Suhaily meninjau kesiapsiagaan anggota, keupayaan kawalan serta pemantauan kawasan sempadan bagi memastikan kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang dapat dibendung.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Pos Kawalan PGA Mongkos untuk meninjau operasi harian dan mengenal pasti permasalahan yang dihadapi anggota, selain meneliti langkah penambahbaikan operasi serta pengukuhan penyelarasan antara agensi.

Lawatan diteruskan ke Kompleks ICQS Tebedu dengan memberi tumpuan kepada keupayaan kawalan dan keberkesanan operasi, termasuk cabaran yang dihadapi anggota dalam melaksanakan tugas di pintu masuk sempadan Malaysia–Indonesia itu.

POS Kawalan Sempadan Bunan Gega antara lokasi yang dilawati dalam usaha meninjau kesiapsiagaan anggota dan keberkesanan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia–Indonesia. Foto AKPS

Penyelarasan antara agensi dan pemantauan berterusan turut diberi perhatian sepanjang lawatan bagi memastikan kawalan serta penguatkuasaan sempadan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, responsif dan berkesan.

Menurut kenyataan itu, AKPS komited untuk terus memperkukuh keupayaan operasi dan penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi membendung kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang, sekali gus memelihara keselamatan negara serta penduduk setempat.

Oleh Afiq Sallehi