BINTANGOR, 4 November: Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan terus menerima insentif sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian akademik mereka.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pemberian insentif tersebut merupakan antara usaha menggalakkan pelajar supaya terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Katanya, pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan seseorang, manakala kejayaan menamatkan pengajian Tingkatan Enam membuka peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Tamatnya pengajian di Tingkatan Enam bukanlah pengakhiran perjalanan pendidikan, sebaliknya merupakan permulaan kepada peluang yang lebih luas.
“Ilmu pengetahuan bukan sahaja membuka peluang kepada kehidupan yang lebih baik, malah menjadi bekalan penting untuk seseorang menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, hari ini.
Tambahnya, kelayakan STPM yang mendapat pengiktirafan meluas memberikan peluang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi serta merealisasikan cita-cita masing-masing.
Beliau turut memetik kata-kata tokoh dunia, Nelson Mandela, bahawa pendidikan merupakan senjata paling ampuh yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru graduan supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus meningkatkan ilmu pengetahuan, membina keyakinan diri dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan.
“Setiap pengalaman yang dilalui merupakan pengajaran berharga untuk membentuk diri menjadi insan yang lebih matang, berkeyakinan dan berdaya saing.
“Kejayaan bukan semata-mata diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui sikap, disiplin, kejujuran serta kesanggupan untuk memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ding merakamkan penghargaan kepada barisan guru dan ibu bapa atas pengorbanan serta komitmen mereka dalam membimbing pelajar sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Katanya, kejayaan graduan bukan sahaja hasil usaha individu, malah turut didorong sokongan keluarga dan dedikasi tenaga pengajar dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Beliau berharap graduan Tingkatan Enam SMK Meradong terus menetapkan matlamat yang jelas dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan lebih tinggi pada masa hadapan.
“Teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, menetapkan matlamat serta berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian masing-masing
“Semoga kejayaan yang dikecapi pada hari ini menjadi pemangkin semangat untuk terus mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan pemberian insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nasaruddin Ibrahim; Pengetua SMK Meradong, Poh Chie Teck dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong, Cherida Igu.
Oleh Earl Anek





