JULAU, 4 November: Peranan guru prasekolah bukan sekadar memperkenalkan kanak-kanak kepada dunia pendidikan, malah turut menjadi tunjang dalam membentuk keyakinan diri, perkembangan sahsiah dan kesediaan mereka menghadapi alam persekolahan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, tanggungjawab mendidik kanak-kanak pada peringkat awal memerlukan komitmen serta kerjasama erat antara guru dan ibu bapa bagi memastikan setiap pelajar mendapat bimbingan yang sewajarnya.
Katanya, pendidikan prasekolah merupakan landasan penting dalam perjalanan pembelajaran kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
“Setiap pelajar perlu menerima sokongan serta pendidikan yang sewajarnya supaya mereka dapat belajar dengan baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Julau Spark (Prasekolah), baru-baru ini.
Tambahnya, kanak-kanak pada peringkat prasekolah mempunyai peluang luas untuk meneroka perkara baharu, justeru memerlukan pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan dan tahap perkembangan masing-masing.
Beliau menjelaskan bahawa guru turut memainkan peranan seperti ibu bapa dalam memberikan bimbingan, perhatian dan sokongan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang positif.
Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kepentingan perkongsian ilmu serta pengalaman dalam kalangan tenaga pengajar supaya pendekatan pengajaran dapat diperkukuh dan disesuaikan dengan kemampuan setiap pelajar.
Katanya, kerjasama antara guru juga dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran, khususnya dalam menangani perbezaan keperluan dan perkembangan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Larry berharap majlis tersebut dapat dijadikan acara tahunan sebagai platform menghargai sumbangan tenaga pengajar dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga pendidikan.
Katanya, penganjuran program seumpama itu turut membuka ruang kepada guru untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh kerjasama dan meningkatkan komitmen terhadap pendidikan awal kanak-kanak.
Larry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan kerja berkaitan pembangunan sekolah.
Beliau berharap sokongan berterusan daripada semua pihak dapat membantu menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih baik, sekali gus melahirkan generasi muda yang berilmu, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Oleh Earl Anek





