ADAM AI bantu penjawat awam tingkat kecekapan tugas

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 4 November: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam Sarawak mampu meningkatkan kecekapan penjawat awam, khususnya dalam penyelidikan, analisis dasar dan penyediaan dokumen rasmi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ADAM AI yang dibangunkan khusus untuk penjawat awam merupakan antara aplikasi yang diperkenalkan bagi menyokong usaha berkenaan.

Menurutnya, aplikasi itu membolehkan pegawai kerajaan mengakses maklumat kerajaan yang dibenarkan, selain membantu dalam penyelidikan, analisis dasar dan penyediaan dokumen rasmi.

Beliau berkata, teknologi perlu dimanfaatkan bagi membolehkan penjawat awam bekerja dengan lebih bijak, menggunakan maklumat secara berkesan serta memberikan nilai tambah kepada rakyat, dan bukannya sekadar mendigitalkan proses sedia ada.

Katanya, pelancaran Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak pada 17 Ogos lalu merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan AI negeri, selain membina asas kawalan yang lebih baik terhadap data dan sumber digital kerajaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan AI tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan kerajaan.

“AI boleh membantu kita mengakses pengetahuan, menganalisis maklumat dan mempertimbangkan pelbagai perspektif, tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti atau akauntabiliti.

“Tanggungjawab terhadap keputusan kerajaan mesti sentiasa kekal pada pegawai yang diamanahkan untuk membuat keputusan tersebut,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Beliau turut mengajak penjawat awam memanfaatkan teknologi berkenaan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

ADAM AI menggunakan slogan “Kecerdasan untuk Setiap Penjawat Awam” yang mencerminkan aspirasi untuk melengkapkan penjawat awam dengan kemudahan dan pengetahuan bagi melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Oleh Shikin Mahmud