Pajakan 28 helikopter jimat RM3 bilion, bomba terima dua AW139 – NGA

Facebook
WhatsApp
MENTERI Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menandatangani plak perasmian pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Helikopter AW139 JBPM di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah hari ini. Foto Bernama

SUBANG, 4 November: Kerajaan berjaya menjimatkan RM3 bilion menerusi kaedah pajakan 28 helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan, termasuk dua helikopter AW139 yang meningkatkan jumlah aset udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kepada 10 buah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pendekatan pajakan berbanding pembelian itu turut meletakkan tanggungjawab penyelenggaraan di bawah pihak syarikat sepanjang tempoh 15 tahun.

“Dahulu, kita terpaksa membeli helikopter. Kini, kita menggunakan sistem pajakan dan tidak lagi perlu menanggung tanggungjawab penyelenggaraan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Helikopter AW139 JBPM di sini, hari ini.

HELIKOPTER AW139 yang diterima JBPM bagi memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pemadaman kebakaran. Foto Bernama

Mengulas mengenai penambahan dua helikopter AW139 itu, Nga berkata aset berkenaan akan memperkukuh keupayaan JBPM dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), memadam kebakaran hutan, memindahkan pesakit dan jenazah serta menghantar bantuan logistik.

Beliau berkata, penggunaan aset udara dapat mempercepat penghantaran pasukan penyelamat ke lokasi kejadian, selain mengurangkan risiko anggota mengalami keletihan dan kecederaan ketika menjalankan operasi SAR.

“Sebelum penambahan dua helikopter AW139 itu, JBPM mengoperasikan lapan helikopter yang ditempatkan secara strategik di tiga pangkalan udara di Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

PASUKAN JBPM bergambar bersama helikopter AW139 baharu yang diterima bagi memperkukuh keupayaan operasi udara jabatan itu. Foto Bernama

“Jabatan itu turut mempunyai 26 juruterbang helikopter, termasuk jurulatih penerbangan berkelayakan bagi helikopter AW109 dan AW139, untuk menyokong kelancaran operasi,” katanya.

Nga menegaskan bahawa keselamatan penerbangan perlu terus menjadi keutamaan, selain kerjasama antara agensi dan pihak industri perlu diperkukuh dalam aspek pembangunan teknologi penerbangan, latihan serta peningkatan kepakaran.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Dr M Noor Azman Taib, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim serta Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella. – Bernama