Pemandu lori maut, abang cedera dalam kemalangan di Selangau

Facebook
WhatsApp
KEADAAN lori yang terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 115, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu dekat Selangau. Foto: IPD Mukah

MUKAH, 3 November: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut, manakala abangnya cedera selepas lori jenis rigid yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 115, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 3.15 pagi itu, lori jenis Nissan berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Bintulu.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan itu melibatkan dua beradik yang masing-masing merupakan pemandu dan kelindan lori berkenaan.

Menurutnya, pemandu lori, Danish James, 21, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau kira-kira 5.50 pagi ketika menerima rawatan.

Abangnya yang juga kelindan lori berusia 29 tahun itu pula mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala kenderaan terbabit dibawa ke Balai Polis Selangau bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis juga sedang berusaha mengesan saksi bebas serta mendapatkan sebarang rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin menerusi talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

Oleh Adi Safarman