SELANGAU, 2 November: Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Batu 62, Jalan Balak Sepiring, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.58 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 3.33 petang, pasukan operasi mendapati sebuah Toyota Hilux Single Cab telah terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.

“Seorang lelaki yang merupakan mangsa kejadian ditemukan selamat, namun tidak dapat naik semula ke permukaan gaung,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan sistem tali penyelamat bagi membawa mangsa naik ke kawasan selamat.
Maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Oleh Tarani Lanting





