PANTU, 2 November: Seorang lelaki maut selepas lori simen yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Pantu, tengah hari tadi.
Mangsa, Ngaji Sarit, 56, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas berjaya dikeluarkan dari kenderaan berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.38 tengah hari.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang tiba di lokasi mendapati sebuah lori simen terbalik ke dalam gaung dengan mangsa tersepit di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan kejadian menyebabkan anggota terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik pihak ladang untuk sampai ke lokasi.
Operasi menyelamat turut mendapat bantuan dua buah jengkaut milik sebuah syarikat bagi membantu kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dibawa ke tempat selamat dengan pengusung khas pada jam 4 petang.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum jasadnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK I Noor Faqriakmal Jamari itu melibatkan tujuh anggota bomba dengan bantuan lima anggota polis, dua petugas KKM serta 10 pekerja sebuah syarikat.
Operasi terkawal pada 3.00 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang.
Oleh Adi Safarman





