Lelaki hilang selepas bot terbalik di Paloh ditemukan meninggal dunia

Facebook
WhatsApp
MAYAT mangsa dibawa menggunakan bot penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis. Foto PGO Bomba Sarawak

TANJUNG MANIS, 3 November: Seorang lelaki berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik akibat arus deras di perairan Kampung Hulu Paloh, ditemukan meninggal dunia kira-kira 12.40 tengah hari tadi.

Mangsa, Musliman Mohammad, ditemukan oleh orang awam pada jarak kira-kira lapan kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian yang dilaporkan pada kelmarin membabitkan sebuah bot yang membawa tiga individu sebelum terbalik akibat arus deras.

Katanya, operasi hari kedua bermula 8.00 pagi apabila enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis bergerak ke lokasi penurunan bot di Belawai.

“Pada 10.35 pagi, pasukan operasi tiba di sekitar kawasan perairan Kampung Kedang dan Muara Paloh untuk meneruskan operasi SAR bersama agensi terlibat.

“Pada 12.40 tengah hari, mangsa dijumpai oleh orang awam lebih kurang lapan kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa menggunakan bot penyelamat ke Belawai pada 2.14 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Turut membantu operasi ialah lapan anggota polis, tiga anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dan kira-kira 80 penduduk kampung.

Penduduk setempat turut menggerakkan 20 bot bagi membantu usaha pencarian, manakala UKPS menyediakan sebuah bot.

Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 4.00 petang selepas mangsa ditemukan dan diserahkan kepada pihak polis.

Oleh Earl Anek