KOTA SAMARAHAN, 3 November: Kekangan kewangan keluarga dan jarak perjalanan dari kawasan luar bandar tidak menghalang dua anak Sarawak, Jasnita Kent dari Kapit dan Nur Hafizah Auda dari Tatau, mencapai impian menamatkan pengajian dalam bidang perubatan menerusi tajaan Yayasan Sarawak.
Kedua-duanya merupakan antara 41 graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tajaan Yayasan Sarawak yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30, hari ini.
Bagi Jasnita yang berasal dari Rumah Anding, Sungai Melinau, Kapit, tajaan penuh Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam membolehkannya menamatkan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan keluarga.
Beliau berkata, kemudahan yang disediakan sepanjang tempoh pengajian, termasuk pembiayaan pendidikan, penginapan dan elaun sara hidup, membolehkannya memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.
“Walaupun berdepan kesusahan dari segi latar belakang keluarga, Yayasan Sarawak banyak membantu sepanjang perjalanan pengajian saya.
“Semua kemudahan disediakan, termasuk wang dan tempat tinggal. Jadi, kami hanya perlu fokus untuk belajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu, hari ini.
Mengakui pengajian dalam bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah, Jasnita berkata, peperiksaan merupakan antara cabaran paling sukar yang perlu ditempuh sepanjang tempoh pengajian.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan rakan-rakan dan pensyarah yang banyak membantunya sepanjang berada di universiti.

Sementara itu, Nur Hafizah yang berasal dari Kampung Baru Tatau berkata, jarak perjalanan antara tempat asalnya dengan pusat pengajian di Kuching menjadi antara cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang mengikuti pengajian perubatan.
Katanya, perjalanan dari Tatau ke Bintulu sebelum ini mengambil masa kira-kira sejam, namun penambahbaikan jalan raya menerusi Lebuh Raya Pan Borneo membantu memendekkan tempoh perjalanan kepada sekitar 30 hingga 40 minit.
Beliau berkata, perjalanan udara kadangkala menjadi pilihan bagi menjimatkan masa dan mengurangkan keletihan, khususnya apabila perlu melakukan perjalanan antara Kuching dengan Bintulu.
Menurutnya, tajaan Yayasan Sarawak turut merangkumi bantuan pengangkutan, termasuk kemudahan tuntutan semula bagi tiket penerbangan yang layak.
“Contohnya, jika saya perlu melakukan perjalanan dari Kuching ke Bintulu, terdapat kemudahan untuk membuat tuntutan semula bagi tiket penerbangan yang layak.
“Jadi, memang sangat membantu,” katanya.
Nur Hafizah berkata, bantuan tersebut bukan sahaja memudahkan urusan sepanjang pengajian, malah turut meringankan beban kewangan keluarganya.
Beliau berharap lebih ramai anak Sarawak berminat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, khususnya di Unimas, memandangkan negeri ini masih memerlukan lebih ramai tenaga profesional dalam sektor kesihatan.
Katanya, walaupun bidang perubatan sangat mencabar, beliau berharap lebih ramai anak Sarawak terdorong untuk menceburinya.
“Saya tahu bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah, malah sangat mencabar, tetapi saya berharap lebih ramai anak Sarawak berminat untuk menceburinya,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa & Norman B





