Di sebalik senyuman graduan Unimas, tersimpan kisah perjuangan dan pengorbanan

Facebook
WhatsApp
MOHAMMAD Shahrul Mohammad Shazili.

KOTA SAMARAHAN, 3 November: Di sebalik senyuman kegembiraan dan kemeriahan sambutan konvokesyen, tersimpan pelbagai kisah perjuangan, keletihan serta pengorbanan yang akhirnya terbayar apabila para graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya menggenggam ijazah masing-masing

Bagi tiga graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Majlis Konvokesyen Unimas Kali Ke-30 hari ini bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, sebaliknya menjadi detik penuh bermakna selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang menuntut ilmu.

Bagi Mohammad Shahrul Mohammad Shazili, hanya satu perkataan mampu menggambarkan keseluruhan perjalanan pengajiannya dalam bidang perubatan, iaitu ‘memenatkan’.

Namun, di sebalik kepenatan itu, tersimpan kenangan indah bersama rakan seperjuangan yang menjadi antara perkara paling dirinduinya selepas meninggalkan alam universiti.

“Memang memenatkan, terutama bagi kursus kedoktoran. Tetapi perkara yang paling saya akan rindu ialah masa bersama kawan-kawan, bermain futsal dan bola tampar bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Beliau yang merancang mencari pekerjaan sambilan sementara menunggu panggilan bertugas di hospital, dijangka pada tahun hadapan, turut mengakui sokongan ibu bapa menjadi antara perkara paling bermakna dalam kehidupannya.

AMELINE Albert.

“Terima kasih kepada ibu bapa kerana membesarkan saya dan sentiasa memberikan sokongan serta bantuan, tidak kira ketika susah mahupun senang. Mereka sentiasa berada di sisi saya,” katanya.

Sementara itu, bagi Ameline Albert yang berasal dari Song, Kapit, kejayaan menamatkan pengajian dalam program Doktor Perubatan membawa makna tersendiri apabila beliau kini semakin hampir merealisasikan impian untuk berkhidmat dalam bidang kesihatan.

Di sebalik minatnya terhadap dunia perubatan, Ameline mempunyai kecenderungan mendalam terhadap bidang pediatrik atau perubatan kanak-kanak, selain turut meminati bidang ortopedik.

“Saya sangat menyukai kanak-kanak kerana mereka begitu jujur dan polos. Kadangkala kejujuran mereka mungkin menyakitkan hati, tetapi mereka sangat mudah memaafkan walaupun kita tidak sengaja membuat mereka marah,” katanya.

Menariknya, sementara menantikan langkah seterusnya dalam kerjaya perubatan, Ameline memilih untuk bekerja sebagai guru tadika di kampung halamannya di Song.

Baginya, pengalaman mendekati kanak-kanak bukan sekadar pekerjaan sementara, malah peluang memahami tingkah laku, komunikasi serta dunia mereka dengan lebih dekat sebagai persediaan sekiranya berpeluang menceburi bidang pediatrik.

Dalam pada itu, graduan dari Johor, Shugganya Sanmugam turut membawa pulang kenangan manis sepanjang menuntut ilmu di Bumi Kenyalang, khususnya keramahan masyarakat Sarawak yang meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.

SHUGGANYA Sanmugam.

Beliau yang turut meminati bidang pediatrik berkata, peluang berinteraksi dengan kanak-kanak menjadi antara sebab utama bidang berkenaan begitu dekat di hatinya.

“Saya suka berinteraksi dengan kanak-kanak dan merasakan suasana dalam bidang pediatrik lebih tenang berbanding beberapa jabatan lain,” katanya.

Selain pengalaman akademik, Shugganya turut mengakui keunikan makanan tempatan menjadi antara kenangan yang akan terus diingatinya, terutama nasi goreng dabai yang berjaya menambat seleranya.

“Saya sangat menyukai masyarakat di Sarawak kerana mereka begitu baik dan mesra. Selain itu, saya juga sangat menggemari nasi goreng dabai,” katanya.

Bagi ketiga-tiga graduan berkenaan, skrol ijazah yang diterima bukan sekadar lambang kejayaan menamatkan pengajian, tetapi turut membawa bersama kenangan persahabatan, penghargaan terhadap keluarga serta harapan untuk membina masa depan dalam bidang perubatan.

Majlis konvokesyen itu sekali gus menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu mereka, meninggalkan alam kampus dengan membawa impian dan cita-cita untuk berbakti kepada masyarakat.

Oleh Norman B dan Adele Rissa