Sarina raih PhD, mahu pelihara warisan budaya Penan Saoh

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH diucapkan kepada Sarina Keti atas kejayaan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 hari ini. Foto UPM

BINTULU, 2 November: Keinginan memastikan warisan budaya masyarakat Penan Saoh terus didokumentasikan menjadi antara dorongan utama Sarina Keti, 48, menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Falsafah dan Pengajian Ketamadunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berasal dari Ulu Jelalong Saoh, Tubau, Sarina mengambil masa tujuh tahun untuk menyelesaikan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada simbol ritual Pakan dalam masyarakat Penan Saoh.

Kajian itu meneliti kaitan simbol berkenaan dengan kepercayaan, amalan budaya serta hubungan komuniti dengan alam sekitar, sekali gus mengetengahkan nilai sejarah dan identiti masyarakat berkenaan.

SARINA Keti ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di pentas pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 yang berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, UPMS, hari ini. Foto UPM

Bagi Sarina, pendokumentasian pengetahuan budaya itu penting bagi memastikan warisan masyarakat Penan tidak hanya bergantung pada ingatan dan penyampaian secara lisan antara generasi.

Usaha tersebut juga mencerminkan komitmen beliau untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat asal melalui bidang akademik, khususnya dalam aspek pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Selain meneruskan penyelidikan, beliau berhasrat membantu kanak-kanak Penan mendapatkan peluang pendidikan formal agar mereka turut berpeluang menikmati manfaat pendidikan.

DETIK kegembiraan Sarina Keti bersama ahli keluarga selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD. Foto UPM

Kejayaan Sarina memperoleh PhD itu diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50, sekali gus menandakan pencapaian penting selepas tujuh tahun mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga dan penyelidikan.

Perjalanan akademiknya dari Ulu Jelalong Saoh ke peringkat doktor falsafah bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi, malah membuka ruang untuk mengangkat pengetahuan dan warisan masyarakat Penan Saoh ke peringkat lebih luas.

Oleh Faizah Muzidi