KOTA SAMARAHAN, 3 November: Kerajaan Sarawak bercadang menawarkan biasiswa penuh menerusi Yayasan Sarawak kepada pelajar Doktor Falsafah (PhD) bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang perubatan integratif yang menggabungkan pendekatan perubatan Barat dan Timur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi meneroka potensi biodiversiti negeri dalam pembangunan kaedah rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih berkesan.
Menurut beliau, penyelidikan berkenaan boleh memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu perubatan berasaskan tumbuhan, perubatan regeneratif dan inovasi bioperubatan, termasuk kajian genomik serta perubatan peribadi.
“Saya telah mencadangkan kepada pihak Unimas supaya Yayasan Sarawak memberikan biasiswa penuh kepada pelajar PhD untuk mengkaji potensi menggabungkan perubatan Timur dan Barat.

“Kita juga akan bekerjasama dengan institusi pengajian luar negara bagi meneroka potensi khazanah biodiversiti Sarawak untuk dimanfaatkan dalam pembangunan perubatan peribadi dan penjagaan kesihatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Unimas Kali Ke-30, Sidang 3, di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, cadangan tersebut turut mengambil kira perbincangan mengenai potensi perubatan integratif ketika beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif 2026 (IIMC 2026) di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, Sarawak mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang luas dan berpotensi menjadi sumber penting dalam penyelidikan saintifik, khususnya bagi meneroka penggunaan bahan semula jadi dalam bidang perubatan.
Dalam pada itu, beliau mahu Unimas terus memainkan peranan sebagai rakan strategik pembangunan Sarawak melalui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang perubatan, kesihatan awam, biodiversiti, bioteknologi dan teknologi hijau.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara universiti, kerajaan, industri serta institusi antarabangsa bagi mempercepat pembangunan kepakaran tempatan dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Menurutnya, kerjasama tersebut diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk membina kepakaran dalam bidang penyelidikan perubatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan negeri.
Oleh Norman B





