SIBU, 2 November: Kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sebagai alat sokongan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, namun teknologi itu tidak boleh menggantikan peranan guru dalam membimbing, mendidik dan membentuk sahsiah murid.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, meskipun teknologi AI mampu membantu penyediaan bahan pengajaran, pembangunan aktiviti pembelajaran dan penilaian kemajuan murid, hubungan kemanusiaan antara guru dengan murid kekal penting dalam proses pendidikan.
“AI sepatutnya menyokong pertimbangan manusia, bukannya menggantikannya. Teknologi boleh membantu guru dalam melaksanakan tugas mereka, tetapi tidak dapat menggantikan hubungan kemanusiaan antara guru dengan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee pada Majlis Perasmian Program Simposium Kepimpinan Digital 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan teknologi digital, AI, analitik data dan platform pembelajaran dalam talian sedang mengubah kaedah penyampaian ilmu serta pengurusan sekolah, sekali gus menuntut pemimpin pendidikan agar bersedia menerajui perubahan tersebut.
“Transformasi digital bukan sekadar menyediakan komputer, memasang skrin pintar atau memperkenalkan aplikasi baharu, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas serta kesediaan untuk menyesuaikan diri,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin sekolah perlu menggalakkan guru meneroka penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain memanfaatkan data sebagai asas kepada perancangan dan keputusan pengurusan.
Bagaimanapun, penggunaan AI dalam pendidikan perlu disertai kesedaran terhadap aspek privasi data, ketepatan maklumat, integriti akademik dan etika bagi memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.
“Pemimpin sekolah juga perlu memastikan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada arus transformasi digital akibat kekurangan kemudahan teknologi atau akses internet.
“Saya berharap simposium ini dapat mendorong setiap peserta mengenal pasti sekurang-kurangnya satu inisiatif digital praktikal untuk dilaksanakan atau ditambah baik di sekolah masing-masing,” katanya.
Oleh Tarani Lanting



