Hampir 30,000 murid Tahun Enam Sarawak terima enam buku percuma

Facebook
WhatsApp

SIBU, 2 November: Hampir 30,000 murid Tahun Enam di seluruh Sarawak bakal menerima enam buah buku pembelajaran secara percuma mulai Januari tahun depan bagi membantu persediaan menghadapi Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif kerajaan Sarawak itu merangkumi pembekalan modul intensif dan latihan intensif bagi mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

“Setiap murid Tahun Enam di seluruh Sarawak akan menerima enam buah buku secara percuma. Kita mempunyai hampir 30,000 murid yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Program Simposium Kepimpinan Digital 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, modul intensif akan disusun mengikut topik pembelajaran, manakala latihan intensif pula memberi tumpuan kepada format peperiksaan UPDLP bagi membantu murid membuat persediaan lebih menyeluruh.

“Setiap murid turut dibekalkan 10 set latihan peperiksaan bagi membiasakan mereka dengan bentuk dan keperluan peperiksaan berkenaan.

“Selain itu, kandungan buku akan dikemas kini setiap tahun bagi memastikan bahan latihan yang disediakan kekal relevan dengan keperluan pembelajaran semasa,” katanya.

Dr Annuar berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah meneliti kandungan bahan pembelajaran itu dan memberikan beberapa cadangan penambahbaikan sebelum proses percetakan dimulakan.

“Beberapa perkara telah diteliti dan diubah berdasarkan maklum balas JPNS. Buku berkenaan kini dalam proses percetakan dan insya-Allah akan dapat diedarkan pada Januari tahun depan,” tambahnya.

Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh persediaan akademik murid, selain memastikan mereka memperoleh bahan pembelajaran bersesuaian tanpa membebankan ibu bapa dengan kos pembelian buku latihan tambahan.

Dalam pada itu, Dr Annuar menegaskan bahawa kejayaan sesuatu inisiatif pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan hasil dan keberkesanannya terhadap pencapaian murid.

“Kerjasama erat antara JPNS dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) penting bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan negeri mencapai matlamat ditetapkan.

“Justeru, saya berharap pihak sekolah dan guru besar memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan negeri bagi memastikan semua murid, termasuk di kawasan luar bandar, mendapat peluang pendidikan lebih baik,” katanya.