KOTA SAMARAHAN, 3 November: Anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti awam Persekutuan yang mempunyai kampus di negeri ini berpotensi menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) menerusi cadangan peluasan skim berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu melibatkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, susulan permintaan pelajar agar anak Sarawak yang menuntut di institusi berkenaan turut dipertimbangkan untuk menikmati manfaat skim itu.
Beliau berkata, pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut, namun keputusan mengenainya hanya dapat dipertimbangkan selepas kerajaan baharu memperoleh mandat rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Katanya, kerajaan negeri kini beroperasi sebagai kerajaan sementara (caretaker) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, justeru beliau belum mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara berkenaan.
“Pada dasarnya saya bersetuju. Dan hari ini saya tiada kuasa, caretaker. Jadi apabila selepas ini ada kuasa balik, rakyat beri balik kuasa kepada kita, kita akan pertimbang, mungkin diluluskan untuk institusi kerajaan pusat berstatus universiti penuh tetapi mempunyai kampus di Sarawak dan anak Sarawak belajar di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, cadangan peluasan itu akan mengikut senarai 64 program pengajian yang telah diputuskan di bawah FTES.
Beliau turut menjelaskan bahawa cadangan itu hanya melibatkan anak Sarawak yang menuntut di kampus universiti berkenaan di Sarawak, manakala mereka yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia belum termasuk dalam pertimbangan ketika ini.
“Jadi maknanya anak Sarawak yang menuntut di Sarawak sajalah. Yang lain menuntut di Semenanjung tunggu dululah,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri masih menyediakan bantuan wang saku kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi membantu menampung perbelanjaan mereka.
“Yang lain menuntut di Semenanjung tunggu dululah. Saya tak dapat memutuskan yang dululah. Kita beri wang saku, wang saku seluruh Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, FTES mula dilaksanakan pada 2026 melibatkan empat institusi pengajian tinggi di Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH), yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti i-CATS.
Oleh Adele Rissa & Norman B.





