BINTANGOR, 3 November: Pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan di kawasan Parlimen Sarikei akan terus diperkukuh menerusi penyaluran peruntukan strategik bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, beliau komited untuk terus menyokong pembangunan sukan, termasuk menaik taraf dan memperluas kemudahan gelanggang bola keranjang di seluruh kawasan Sarikei, termasuk Bintangor.
“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat dan komited untuk menyokong pembangunan sukan di kawasan ini.
“Bagi saya, masyarakat yang sihat dan bersemangat merupakan asas kepada Sarikei yang lebih maju,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Perlumbaan Kedua sempena Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11, kelmarin.
Menurutnya, penganjuran perlumbaan bot laju bukan sekadar menyediakan hiburan kepada masyarakat, malah berperanan memupuk disiplin, ketahanan fizikal dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
“Program perlumbaan bot laju ini bukan sekadar hiburan rakyat, tetapi juga baik untuk kesihatan dan semangat.
“Sukan air yang mencabar ini menuntut ketahanan fizikal serta disiplin yang tinggi daripada peserta,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran acara tersebut turut mampu memupuk nilai kerjasama berpasukan dan semangat juang, selain memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat yang hadir memberikan sokongan.
Dalam pada itu, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan serta sokongan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sukan dan kesejahteraan rakyat.
“Sokongan berterusan kerajaan Sarawak telah membolehkan program seperti perlumbaan bot laju ini dilaksanakan, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk bersukan, mengeratkan perpaduan dan mengekalkan budaya sungai yang menjadi warisan kita bersama,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan penganjuran acara tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).
Beliau berharap peruntukan tersebut dapat membantu MDMJ meneruskan penganjuran program sukan dan kemasyarakatan yang memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
“Saya berharap MDMJ akan terus mengadakan program seperti ini pada masa hadapan untuk memberi hiburan serta membantu melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan bersatu padu di Bintangor,” ujarnya.
Huang turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan tersebut atas kesungguhan serta semangat kesukanan yang ditunjukkan.
Oleh Earl Anek





